Rabu, 4 Mei 2011

Hata mahu kekal ketuai NUJ hingga Utusan Rakyat ‘lahir’



Nurul Izzah Anwar (kiri) bersama Hata Wahari menjawab soalan pemberita di pekarangan Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya petang tadi. – Foto oleh Jack Ooi
PUTRAJAYA – Hata Wahari mahu kekal sebagai Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Malaysia sehingga akhbar Utusan Rakyat memperoleh permit penerbitan daripada Kementerian Dalam Negeri.

Semalam, Hata mengumumkan bahawa beliau sudah menerima surat pemecatan daripada Kumpulan Utusan ekoran siri kenyataannya mengenai pendirian editorial akhbar keluaran syarikat itu khususnya Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.

Justeru, Hata bertekad mahu terus menerajui NUJ demi kebebasan media yang sepenuhnya.

“Ini perjuangan saya untuk melihat media adalah beretika dan bertanggungjawab dan YB (Nurul Izzah Anwar) adalah salah seorang penasihat bagi pasukan editorial Utusan Rakyat,” kata beliau selepas mengadakan pertemuan dengan pegawai-pegawai Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

Kata Hata, pihaknya telah meminta Kementerian Dalam Negeri meluluskan Utusan Rakyat.

“Kementerian Dalam Negeri meminta kami membuat beberapa pindaan ke atas Utusan Rakyat.

“Jadi, saya menjelaskan kepada mereka bahawa dengan Utusan Rakyat, kami mahu prorakyat bukan sahaja bagi parti prokerajaan atau parti propembangkang, BN atau Pakatan Rakyat,” kata beliau.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar berkata, liputam akhbar mingguan itu terbuka kepada semua.

“Saya rasa sebagaimana dikatakan oleh Hata, yang pertama ialah penggunaan nama Utusan Rakyat. Kami mahu nama ini tidak dibataskan kepada akhbar milik Umno atau komponen Barisan Nasional secara langsung atau secara tidak langsung, dan mereka harus memberikan akses kepada mana-mana entiti untuk menggunakan nama itu,” kata Naib Presiden PKR ini.

Oleh itu kata Nurul Izzah, jika edisi contoh bertajuk ‘Tumbangkan Pemerintahan Taib’ kelihatan terlalu ekstrem, pihaknya akan menyediakan contoh yang baru untuk kelulusan.

“... kerana akhirnya, kami mahukan lesen dan hanya menteri yang boleh luluskan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Exco Kanan Kerajaan Negeri Selangor Teresa Kok berkata, keputusan Kumpulan Utusan memecat Hata memaparkan satu lagi tindakan Umno mengongkong kebebasan akhbar dan mengaibkan hak rakyat menerima kewartawanan yang berhemah tinggi.

“Saya berasa kesal di atas keputusan akhbar Utusan Malaysia untuk memecat wartawan kanan dan Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan Hata Wahari.

“Hata telah dipecat kerana berani mengkritik tindakan Utusan Malaysia yang sengaja mengapi-apikan sentimen perkauman melalui penerbitannya dan mengambil pendirian yang berat sebelah terhadap Umno dalam laporan politiknya,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Pemimpin DAP itu berkata, tindakan ke atas Hata sudah lama dijangka dan tidak menghairankan banyak pihak kerana dasar kewartawanan Kumpulan Utusan memang tidak berlandaskan fakta dan kejujuran tetapi lebih berdasarkan pemeliharaan keperluan politik Umno.

“Secara praktiknya, peranan Utusan Malaysia ialah untuk menyemai perasaan syak-wasangka dan benci di kalangan kaum Melayu terhadap kaum lain, demi mengukuhkan sokongan orang Melayu terhadap Umno.

“Demi kepentingan politik Umno, hak rakyat untuk menerima maklumat yang tepat yang berlandaskan fakta dan berhemah, dan pembangunan intelek rakyat digadaikan,” katanya lagi.

Oleh itu kata beliau, isu pemecatan Hata bukanlah isu kecil pertarungan antara seorang wartawan dan majikannya semata-mata.

“Pemecatannya harus dipandang berat oleh semua rakyat Malaysia kerana ia menonjolkan betapa tersekatnya kebebasan akhbar di Malaysia dan monopoli media oleh Umno dan parti komponen Barisan Nasional yang lain,” kata beliau.

Tiada ulasan: