Rabu, 4 Mei 2011

Guan Eng: DAP rangka pelan ganti BN Sarawak dalam 5 tahun


KUCHING – Lim Guan Eng berkata pihaknya merancang untuk mengadakan pelan tiga mata bagi menggantikan Barisan Nasional (BN) mentadbir kerajaan negeri Sarawak dalam lima tahun lagi.

Setiausaha Agung DAP itu berkata partinya telah menyediakan rancangan untuk mengambil alih kerajaan negeri dengan membentuk Kabinet dan menyediakan portfolio-portfolio yang akan memberi peluang untuk melaksanakan dasar alternatif.

Lim juga berkeyakinan parti itu akan menang dengan bantuan rakannya dalam Pakatan Rakyat iaitu PAS dan PKR dengan merujuk kepada kehilangan 55 peratus undi popular BN pada pilihan raya negeri Sarawak bulan lalu berbanding pilihan raya negeri pada 2006.

“Masa untuk melakukan perubahan sudah tiba.

“Masa depan kita telah dicuri, kita tidak boleh biarkan masa depan anak-anak kita juga dicuri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pembangkang yang diketua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP Wong Ho Leng telah membentuk 16 individu bagi menggantikan pentadbiran Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

DAP berkemampuan untuk bertindak demikian setelah memengani 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

PKR pula memenangi tiga kerusi yang memberikan jumlah keseluruhan adalah 15 kerusi Pakatan Rakyat di DUN Sarawak.

Lim juga berkata DAP akan bekerja lebih keras untuk meluaskan pengaruh dengan mengambil lebih ramai ahli terutamanya pengundi luar bandar.

Tambah beliau, parti yang didominasi masyarakat Cina itu akan memilih Adun Kidurong Chiu Chiu Sing sebagai model kerana berjaya mendapat sokongan pengundi Iban, Bidayuh, Melanau/Melayu dan juga komuniti Cina di negeri itu.

Chui berjaya mendapat 64 peratus undi bukan Cina pada pilihan raya negeri Sarawak 16 April lalu.

“Tiada jurang perkauman terhadap sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat dan DAP,” kata Lim.

Beliau menambah tanggungjawab Pakatan Rakyat sekarang adalah mendesak Datuk Seri Najib Razak akan memenuhi impian penduduk Sarawak yang mahu Taib meletakkan jawatan sebagai ketua menteri.

Lim juga mencabar Najib meningkatkan bayaran royalti minyak kepada negeri itu kepada 20 peratus dari kadar yang ada sekarang hanya lima peratus, yang mana ia akan menyaksikan kerajaan negeri memperoleh pendapatan sebanyak RM6 bilion setahun selain mampu meningkatkan kemudahan awam di Sarawak.

“Sekiranya Perdana Menteri gagal untuk memenuhi tiga tuntutan ini, rakyat Sarawak tidak perlu menunggu lima tahun tetapi boleh membuat perubahan pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Tiada ulasan: