Isnin, 2 Mei 2011

GDB kaji tindakan serius jika Putrajaya tidak segera selamatkan DBP

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Gerakan Darurat Bahasa (GDB) menggesa Putrajaya dengan segera bertindak mengatasi masalah yang membelenggu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) termasuk dakwaan bahawa ia mengalami kerugian berterusan dan sudah tidak lagi berintegriti.

Gerakan itu mengemukakan memorandum menyentuh isu penswastaan lima bahagian penting dalam DBP, pelantikan jawatan Ketua Pengarah, rasional penstrukturan semula Jabatan Sastera dan Bahagian Agama Falsafah dan Tamadun Islam dan pelantikan ahli Lembaga Pengelola DBP yang perlu memenuhi kriteria kepakaran dalam bidang bahasa dan kesusasteraan.

GDB juga sedang merangka program jelajah ke seluruh negara untuk menerangkan kepada rakyat mengenai “Kempen Selamatkan Dewan Bahasa dan Pustaka”.

“GDB memutuskan untuk memberi masa kepada pihak Menteri Pelajaran meneliti memorandum tersebut dengan terperinci dan ahli jawatankuasa GDB akan menentukan tindakan lanjut, jika tidak ada langkah balas diambil oleh pihak Tan Sri Muhyiddin Yassin,” kata pengerusinya Mohd Azmi Abdul Hamid dalam satu kenyataan.

“Kami mengulangi kekecewaan kami kepada beliau bahawa DBP adalah sebuah institusi yang dilahirkan dari perjuangan bahasa yang serba payah lebih 54 tahun lalu.

“Adalah menjadi pengkhianatan yang tidak dapat dimaafkan jika DBP menjadi lesu dan tidak berintegriti akibat pengurusan yang pincang dan campur tangan agenda politik yang sempit oleh pihak tertentu,” katanya.

Memorandum kepada Muhyiddin (gambar), yang juga timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno telah diserahkan pada 27 April lalu.

DBP atau nama asalnya Balai Pustaka ialah sebuah jabatan kerajaan yang ditubuhkan pada 22 Jun 1956 untuk menggerak dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu.

GDB yang merupakan gabungan 60 buah badan bukan kerajaan menggesa kerajaan untuk mengkaji semula kedudukan DBP sesuai dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Akhir Mac lalu, GDB menuntut kerajaan mengkaji semula kedudukan DBP yang merupakan sebuah institusi penting yang diwujudkan berdasarkan sebuah akta khusus.

Katanya, sejak pada 2002, DBP telah kerugian antara RM20 juta hingga RM40 juta setiap tahun.

Sebelum penswastaan ini, DBP memperoleh keuntungan sekitar RM20 juta setahun, kata Mohd Azmi sebelum ini.

Dalam kenyataan terbaru kali ini, Mohd Azmi berkata, kini DBP yang mempunyai gedung yang bernilai ratusan juta ringgit tidak menggambarkan kewibawaannya yang sebenar bila mana ia hanya menjadi sebuah birokrasi yang hilang dinamika sebagai sebuah institusi yang profesional dan bergiat aktif membela martabat bahasa.

“Kami akan memantau dengan rapi perkembangan dari pejabat Tan Sri Muhyiddin untuk melihat sejauhmana tuntutan GDB dilayani,” kata beliau.

Ketika penyerahan memorandum itu, kata beliau, pihaknya menyatakan bahawa Kementerian Pelajaran perlu memberi perhatian serius kepada isu yang dibangkit oleh GDB mengenai kedudukan DBP kerana ia akan menentukan status dan masa depan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan.

Sementara GDB mengingatkan bahawa DBP adalah institusi yang memegang amanah besar untuk memartabatkan bahasa, keadaan kewangan serta pengurusannya yang berhadapaan dengan krisis akan meletakkan DBP dalam keadaan lemah dan hilang wibawa.

Mohd Azmi juga berkata, rakyat perlu menyedari mengenai kepentingan DBP dipantau dengan serius dan rakyat perlu mengambil berat mengenai perkembangannya kerana ia adalah institusi yang diamanah oleh rakyat.

“Rakyat berhak menyatakan pendirian jika terdapat kepincangan yang berlaku dalam pengurusan DBP.

“GDB sedia mengambil tindakan yang lebih drastik jika tidak ada layanan dan perhatian serius diambil oleh pejabat Menteri Pelajaran dan siap untuk mengadakan perhimpunan aman di hadapan DBP untuk menyemarakkan lagi tuntutan kami,” katanya.

Tiada ulasan: