Selasa, 12 Oktober 2010

PKR diminta tangguh pemilihan tumpu Batu Sapi, selesai pelbagai isu cabang


KUALA LUMPUR— Calon jawatan ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Badrul Hisham Shaharin minta partinya yang dalam proses mengadakan sistem pemilihan langsung bersejarah peringkat pusat, kira-kira sebulan bermula 29 Oktober ini, agar menangguhkan aktiviti itu.

Badrul Hisham yang turut dikenali sebagai “Chegubard” berkata, Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Parti Keadian Rakyat (PKR) harus meneliti syor ini supaya parti ada masa yang cukup untuk menyelesaikan beberapa isu berkaitan dengan proses pemilihan dan juga bagi memberi tumpuan ke atas pilihan raya kecil kerusi Parlimen Batu Sapi.

Anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) ini berkata, parti perlu menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan oleh pelbagai pihak “agar jangan sampai rumah sudah siap tetapi pahat terus berbunyi.”

“Kita hendak siapkan rumah baru dengan menggunakan sistem pemilihan dan memberi ruang demokrasi yang luas, tetapi dalam usaha kita hendak mencipta ruang demokrasi yang luas, jangan sampai kita dilihat rumah siap tetapi pahat terus berbunyi,” kata beliau ketika dihubungi.

Oleh itu pemimpin dari Rembau, Negeri Sembilan ini berkata, apa salahnya proses pemilihan ini ditangguhkan sementara bagi menyelesaikan beberapa masalah teknikal yang banyak dibangkitkan di peringkat cabang sebelum ini.

“Walaupun masalah yang wujud ini sikit sahaja tetapi boleh menjejaskan pencapaian sejarah besar kalau kita terburu-buru mahu menyelesaikan proses pemilihan ini dengan tidak cermat mendengar serta menyelesaikan masalah teknikal yang ada,” kata beliau lagi.

Malah Badrul Hisham yang juga Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia berkata, langkah berani parti memperkenalkan sistem satu undi satu ahli turut berjaya menggamit perhatian banyak pihak untu melihat proses pemilihan kali ini dijalankan dengan jaya.

Menurutnya, pemilihan 2010 juga dianggap sebagai harapan baru bagi anak muda sebelum mereka menempuhi pilihan raya kecil ke-13 iaitu Batu Sapi.

PKR selesai mengadakan mesyuarat agung tahunan cabang dan pemilihan cabang 3 Oktober lalu tetapi sembilan cabangnya bermasalah.

Sebahagian cabang bermasalah akan mengadakan pemilihan sebelum kongres hujung bulan depan manakala yang lain akan berbuat selepas kongres.

Di bawah sistem pemilihan langsung sekitar 400,000 ahlinya akan mengambil bahagian dalam proses pemilihan mulai 29 Oktober ini selama tiga minggu atau sembilan hari secara berperingkat-peringkat.

Selain itu, kata Badrul Hisham, pemilihan juga perlu ditangguhkan memandangkan partinya akan turun bertanding pada pilihan raya kecil Batu Sapi di Sabah.

Kerusi Batu Sapi diperuntukkan kepada PKR di bawah pembahagian kerusi kepada PKR tahun 2008.

“Parti memerlukan tumpuan penuh untuk menghadapi cabaran di Batu Sapi dan memenangi kerusi itu.

“Kerusi ini sangat penting bagi PKR dalam usaha menghadapi cabaran pilihan raya umum ke-13.

“Kekuatan kami dan Pakatan Rakyat di Semenanjung sudah cukup, dan sekarang perlu memberi tumpuan ke atas Sabah dan Sarawak bagi mengambil alih kerajaan persekutuan,” kata beliau.

Oleh itu katanya, kejayaan di Batu Sapi adalah penting bagi PKR dan Pakatan Rakyat sebagaimana DAP menang di Sibu.

Kerusi Batu Sapi kosong ekoran kematian penyandangnya, Datuk Edmund Chong Ket Wah pada Sabtu lalu.

Chong yang juga Bendahari Agung PBS meninggal dunia selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya terlibat dalam nahas jalan raya dengan sebuah kereta di Jalan Coastal, Tanjung Aru, Kota Kinabalu, Sabah.

Parlimen Batu Sapi mempunyai dua DUN iaitu Sekong diwakili Datuk Samsudin Yahya daripada BN dan DUN Karamunting oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Peter Pang En Yin yang kini wakil rakyat Bebas menyokong BN selepas keluar daripada Parti Liberal Demokratik bulan lepas.

Pada pilihan raya umum 2008, Chong memenangi kerusi tersebut setelah menewaskan calon Bebas Chung Kwong Wing dengan majoriti 3,708. Mendiang memperoleh 9,479 undi manakala Chung meraih 5,771 undi.

Mengenai kemungkinan ditangguhkan pemilihan kali ini, Badrul Hisham berkata ia boleh diputuskan oleh MPP.

“MPP yang boleh membuat keputusan dan membolehkan JPP menangguhkan pemilihan,” kata beliau sambil menambah telah mengadakan perbincangan dengan beberapa pemimpin.

“Nampaknya mereka juga setuju dengan cadangan ini. Saya akan menulis surat kepada ibu pejabat hari ini mencadangkan perkara ini,” katanya.

PKR akan mengadakan mesyuarat mingguan Biro Politik setiap Rabu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunggu notis Parlimen untuk mengadakan mesyuarat khas menetapkan pilihan raya kecil.

Pilihan raya kecil DUN Galas di Kelantan diadakan pada 4 November.

18 ulasan:

madd berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
madd berkata...

kepada mana-mana parti yang bertanding pun, yang penting pastikan kepentingan rakyat didahulukan..

Anak Sabah berkata...

Memang patut PKR mengatasi masalah dalam terlebih dahulu sebelum mengadakan pemilihan mereka. Tapi bergantung juga pada PKR sama ada mahu berbuat demikian ataupun tidak.

Anak Sabah berkata...

Calon dan pengundi seharusnya bersedia bertanding dan mengundi setelah tarikh PRK diputuskan. Selamt berjuang.

evan medhousky berkata...

“Kekuatan kami dan Pakatan Rakyat di Semenanjung sudah cukup, dan sekarang perlu memberi tumpuan ke atas Sabah dan Sarawak bagi mengambil alih kerajaan persekutuan,”

tidak nampak pun kekuatan PR di Semenanjung.. kalau benar2 kuat kenapa pertikaikan Ku Li di Galas?

tombolo berkata...

PRK batu sapi ini perlu diberi perhatian. semua calon perlu bersedia.

evan medhousky berkata...

kita lihat sejauhmana kekuatan PR menawan Batu Sapi yang diistilahkan sebagai kubu kuat BN. dalam politik tiada yang mustahil, tapi jangan terlalu yakin..

Hamdan Hadillah berkata...

PKR begitu ambil berat dengan PRK Batu sapi ini sehingga pemilihan cabang terpaksa ditangguhkan untuk menumpukan PRK Batu Sapi.

Hosie Masie berkata...

PKR sangat mementingkan PRK ini berbanding pemilihan calon PKR sendiri. Mereka mahu kemenangan di Batu Sapi. Oleh itu, BN jangan hanya duduk diam dengan yakin akan menang dengan mudah. Cuba fikirkan yang negatif terlebih dahulu untuk kerusi Batu Sapi. Penduduk disana bagaimana kepercayaan mereka terhadap kerejaan.

Bujang Senang berkata...

Bertandingalah secara adil dan jangan mahu main kotor. Berikan keutamaan untuk perjuangan sepenuhnya terhadap penduduk Batu Sapi.

Jason berkata...

Selamat berjuang! pastikan bertanding secara bersih!

Unknown berkata...

Bertanding dengan fikiran seorang pemimpin. Rasional, bijak, bertanggungjawab, amanah.

Unknown berkata...

“Kekuatan kami dan Pakatan Rakyat di Semenanjung sudah cukup, dan sekarang perlu memberi tumpuan ke atas Sabah dan Sarawak bagi mengambil alih kerajaan persekutuan,” kata beliau.

Oleh itu katanya, kejayaan di Batu Sapi adalah penting bagi PKR dan Pakatan Rakyat sebagaimana DAP menang di Sibu.


Seolah-olah tidak sabar ingin merampas kerusi kosong. Temph berkabung pun belum habis. Menjadikan saya semakin tidak menghormati pihak pembangkang.

azman berkata...

kepada mana-mana parti yang bertanding perlu bersaing dengan sewajarnya dan gunakanlah strategi yang bersih.

Tanpa Nama berkata...

nampaknya PKR menganggap pilihanraya di Batu Sapi amat penting, BN perlu menguatkan jentera bagi menghadapi pilihanraya ini.

mike berkata...

nampaknya PRK batu sapi akan dijadikan sebagai pengukur sejauh mana kemampuan parti2 yang bertanding sebelum menghadapi PRU13 nanti.

mike berkata...

kemungkinan PRK batu sapi akan menyaksikan persaingan yang sengit di antara kerajaan dan pembangkang..namun diharapkan agar semangat berpolitik itu biarlah berpada-pada dan haruslah bertindak secara profesional dan matang.

mike berkata...

apa pun, diharap agar pihak berkenaan akan menjalankan tugas mereka dengan sebaik-baiknya bagi memastikan PRK itu nanti akan berjalan dengan lancar.