Selasa, 12 Oktober 2010

Dakwaan samseng halang cabutan undi bazar disiasat

MALAYSIA KINI


Kerajaan Selangor mengambil berat dakwaan wujudnya individu dan kumpulan yang menimbulkan kekacauan di kalangan masyarakat kaum India berhubung pengagihan bazaar sempena sambutan Deeepavali di sekitar bandar Klang.

Setiausaha politik kepada menteri besar Selangor, Faekah Husin berkata pihaknya telah dimaklumkan mengenainya oleh beberapa individu yang datang ke pejabat menteri besar minggu lalu.

Katanya, mereka tidak puas hati dan mendakwa adanya kumpulan samseng yang seolah-olah mengawal Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan menghalang pihak berkuasa tempatan itu mengadakan cabutan undi secara adil bagi mengagihkan bazar kepada peniaga yang layak.

Dalam satu kenyataannya hari ini, Faekah berkata, kerajaan negeri akan menyiasat secara terperinci dakwaan itu.

Katanya bagi membolehkan tindakan sewajarnya dapat diambil "demi memberi keadilan kepada peniaga kecil dari keturunan India yang mahu mencari rezeki secara halal".

"Semalam saya telah memanggil pihak Majlis Perbandaran Klang untuk berbincang menyelesaikan isu ini pada petang ini.

"Kita sama sekali tidak akan bertolak ansur dengan sebarang salahlaku dalam mengendalikan tugasan ini dan akan memastikan kepentingan dan hak rakyat kebanyakan dilindungi," tambahnya.

Faekah juga menegaskan bahawa beliau tidak pernah menuduh masyarakat India sebagai samseng seperti yang cuba dibangkitkan dan didakwa pihak-pihak tertentu.

"Tuduhan tidak berasas ini sengaja direka pihak tertentu yang cemburu dengan kejayaan kerajaan Pakatan Rakyat mentadbir Selangor dan menyatukan semua kaum," tegasnya.

Malah, katanya, kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor sejak lebih dua tahun lalu dibentuk hasil gabungan dan kerjasama jitu pelbagai kaum dan agama.

"Kita berjuang untuk menghentikan politik perkauman yang telah diwujudkan BN dan ternyata tindakan mereka ini telah menimbulkan kesangsian antara kaum," tambahnya.

Tiada ulasan: