Jumaat, 5 Mac 2010

Zailani sekeluarga merempat akibat kemiskinan

UTUSAN ONLINE


KUALA TERENGGANU - Sebuah keluarga terpaksa merempat di kaki lima jalan di sekitar bandar raya ini sejak sebulan lepas akibat kemiskinan.

Zailani Awang, 45, bersama isteri, Zalina Awang, 42, dan tiga anak mereka berusia antara tiga hingga lapan tahun kini memilih sebuah pondok di taman rekreasi bersebelahan Istana Maziah di Jalan Sultan Zainal Abidin di sini untuk berteduh.

Zailani yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan ketika ditemui berkata, mereka terpaksa keluar dari sebuah rumah belum siap di Tok Jembal di sini bulan lalu yang menjadi tempat tinggal selama sebulan selepas diminta berbuat demikian oleh pemiliknya.

Dia yang baru bekerja sebagai pembantu kedai makan di sebuah restoran di sini sejak dua hari lalu berkata, pemilik rumah itu telah membenarkan mereka tinggal secara percuma tetapi kini dia ingin membaiki rumah tersebut.

''Saya cuba mencari rumah untuk disewa namun rumah di Kuala Terengganu sangat mahal dengan kadar sewa melebihi RM400 sebulan. Saya tak mampu.

''Saya ada jumpa beberapa buah rumah berharga antara RM200 dan RM250 sebulan namun pemilik rumah berkenaan menyatakan rumah berkenaan telah disewakan kerana mereka melihat saya seperti tidak mampu membayar sewa," katanya yang akan menerima pendapatan kira-kira RM500 sebulan.

Oleh itu, katanya, mereka terpaksa tidur di kaki jalan termasuk di masjid dan beberapa kedai sebelum ini.

''Kami hanya boleh berada di satu tempat beberapa hari sebelum dihalau dari tempat tersebut.

''Kami mandi dan sembahyang di masjid," ujarnya yang pernah bekerja sebagai pemandu ambulans di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.

Dia berkata, dia dan isteri kini sekadar 'tidur ayam' setiap malam kerana bimbang didatangi mereka yang mempunyai niat jahat.

''Beg saya yang mengandungi kad pengenalan dan kad bank yang mengandungi simpanan kira-kira RM100 telah dicuri malam tadi ketika kami sedang tidur," katanya.

Zailani menambah, walaupun mereka tidur di kaki lima, dia tidak membenarkan anak-anak mereka meminta sedekah.

Zailani berkata, dia kesiankan anak-anaknya kerana anak sulung, Mohd. Fikri, 8, sepatutnya pergi ke sekolah.

''Saya tidak mampu hantar dia belajar dan anak bongsu, Mohd. Bakri, 8, pula sentiasa meminta wang untuk membeli makanan," katanya.

Tiada ulasan: