Jumaat, 12 Mac 2010

SAPP Tidak Sertai Blok Bebas Parlimen – Yong

BERNAMA


Parti Progresif Sabah (SAPP) tidak akan menyertai apa yang dipanggil blok bebas anggota-anggota Parlimen yang meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini.

Presidennya, Datuk Yong Teck Lee, berkata oleh itu, dua anggota Parlimen SAPP Datuk Eric Majimbun dan Datuk Dr Chua Soon Bui bukan individu bebas.

“Mereka dari SAPP mewakili kepentingan Sabah. Bagaimanapun, SAPP akan menyertai badan-badan bukan BN yang memperjuangkan kepentingan Sabah.

“Atas dasar ini, dua MP SAPP adalah sebahagian daripada Kaukus Parlimen mengenai petroleum diketuai oleh Tengku Razaleigh Hamzah kerana ini menyentuh kepentingan Sabah secara langsung,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari Khamis.

Menyangkal komen MP Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali dalam portal berita, Malaysiakini, dan media lain semalam yang mengandaikan bahawa dua MP SAPP itu berada dalam “blok bebas”, Yong berkata:

“Pendirian kami kekal bahawa kami keluar dari kerajaan BN pada 2008 kerana kami hilang kepercayaan terhadap BN menyelesaikan masalah Sabah yang semakin hari semakin buruk.

“Sebab itu SAPP bekerjasama dengan pembangkang Pakatan Rakyat di Parlimen untuk menumbangkan pentadbiran BN ini.

“Sebarang pembohongan oleh beberapa orang ahli politik di Kota Kinabalu, Sipitang dan Sandakan dan di Internet dalam beberapa hari ini kononnya SAPP sedang kembali kepada BN adalah percubaan terdesak untuk melemahkan perjuangaan SAPP untuk Sabah,” katanya.

Tiada ulasan: