Khamis, 4 Mac 2010

PR merakyat dan berbeza dengan BN yang bersifat perkauman - Suhaizan Kayat

Oleh Mohd Ali Bakri

PETALING JAYA : Pakatan Rakyat (PR), mempunyai dasar utama yang berbeza dengan Barisan Nasional (BN) yang mengamalkan perkauman, kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Pusat Suhaizan Kayat.

"Sebab itu, kalau kita lihat, sekarang ini, Umno sering menyifatkan hubungan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PKR yang ada kaitan dengan Yahudi di Amerika, Dap pula ditohmah dengan sikapnya yang bersifat Chauvinis Cina dan anti Melayu.

"Sedangkan, PR sebenarnya melihat perbezaan perkauman itu sebagai sesuatu yang perlu diraikan," kata beliau menerusi Wacana Generasi Perubahan dengan tajuk 'Dasar Bersama Pakatan Rakyat dan Masa Depan Politik Malaysia' di sini, semalam.

Sementara itu, Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, beliau bersetuju dengan pendekatan 'litaa'rafu' (saling berkenal-kenalan) yang diungkapkan Suhaizan sekali gus menolak fahaman umum bahawa Umno memperjuang Ketuanan Melayu.

Ketuanan Rakyat jauh lebih awal mengatasi 1Malaysia

"Umno bukan perjuangkan sangat Ketuanan Melayu. Kalau anda masih ingat, di Kampung Baru yang sangat terkenal sebagai kawasan Melayu dan insiden 13 Mei yang menyaksikan pergolakan antara Melayu dan Cina, Anwar pernah berceramah di situ lalu buat pertama kalinya sebelum memperkenal konsep Ketuanan Rakyat.

"Ini bermaksud, perjuangan Pakatan Rakyat jauh lebih awal daripada 1Malaysia," tambah Nik Nazmi yang juga merupakan Adun Seri Setia.

Menyentuh perkembangan terbaru mengenai kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang, Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar berkata, beliau masih yakin kepada kesetiaan antara pimpinan Pakatan Rakyat sebelum ini.

"Saya berterima kasih kepada kenyataan Presiden Dap Lim Guan Eng dan Presiden Pas Haji Abdul Hadi Awang yang menyokong kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia jika Pakatan Rakyat memang dalam pilihan raya umum.

"Pendirian itulah yang masih dipegang sejak 1998 sejak PR masih belum wujud, dan ia dinamakan sebagai Barisan Alternatif," kata Nurul Izzah.

Menyentuh perkembangan terbaru berhubung isu melompat parti dalam kalangan PKR, Adun Batu Caves Amiruddin Shari berkata, hujah yang dikemukakan kebanyakan wakil rakyat itu tidak kukuh.

"Mereka kata, mereka tidak percaya dan yakin lagi kepada kepemimpinan parti. Jadi, adakah ini bermaksud, kepemimpinan Najib Razak lebih baik dalam Umno? Apakah yang sebenarnya yang ingin mereka buktikan dengan lompatan parti ini," soal beliau lagi.

Turut hadir sebagai panelis adalah Ahli Parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong, dan Pegawai Penyelidik Pejabat MB Selangor Tricia Yeoh.

Ahli Parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusoff, yang dikatakan turut melompat parti sebelum ini turut hadir bersama untuk bertanya soalan.

Beliau kemudian dikerumuni sekumpulan wartawan selepas beberapa minit keluar forum itu, ekoran desas-desus tersiarnya laporan berhubung kemungkinan beliau akan keluar parti.

Tiada ulasan: