Jumaat, 5 Mac 2010

Pemuda Gerakan lapor SPRM berhubung KIBFG

BERITA HARIAN ONLINE


PUTRAJAYA: Pemuda Gerakan semalam membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu penggunaan Kotak Berinsulasi Gred Makanan (KIBFG) yang dikatakan pembekalannya dimonopoli oleh sebuah syarikat.

Ketua Pemuda Gerakan, Lau Hoi Keong, berkata pergerakan itu mahu SPRM menyiasat kemungkinan berlaku penyelewengan dalam pembekalan KIBFG itu kerana hanya sebuah syarikat diberikan hak eksklusif untuk memasar dan menjual kotak berkenaan.

"Pemuda Gerakan, rakyat dan pemborong mahukan kepastian bahawa tiada penyelewengan dan penyalahgunaan berlaku dalam pemberian hak eksklusif berkenaan kerana daripada apa yang saya dengar seorang pegawai kanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) turut dilantik sebagai pengarah di syarikat terbabit.

"Kita mahu tahu sama ada pelantikan dia (pegawai kanan LKIM) adalah mengikut prosedur atau pun tidak kerana beliau mempunyai kaitan rapat dengan urusan pemberian hak eksklusif itu," katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan pegawai SPRM di sini, semalam.

Pada pertemuan itu, Lau turut menyerahkan beberapa dokumen yang didakwa ada kaitan dengan perlantikan pegawai kanan LKIM itu dalam syarikat berkenaan.

Akhbar sebelum ini melaporkan Persatuan Pengimport/Pemborong Ikan dan Sumber Laut Malaysia memboikot kemasukan ikan ke negara ini pada Isnin lalu kerana membantah arahan LKIM supaya pengimport menggunakan kotak berinsulasi itu, tetapi menarik balik tindakan itu selepas pertemuan dengan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar, Selasa lalu.

Pada Isnin lalu juga, Noh menafikan pembekalan kotak berinsulasi itu hanya diwajibkan dibeli daripada sebuah syarikat sekali gus mewujudkan monopoli dari syarikat berkenaan sebaliknya ia membabitkan empat syarikat pada peringkat awal untuk memudahkan pemantauan kerajaan.

Tiada ulasan: