Selasa, 9 Mac 2010

Ong tolak cengkaman Umno

mca leader1

FREE MALAYSIA TODAY


Pemilihan pimpinan MCA pada 28 Mac ini akan menentukan sama ada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhasil dengan perancangan untuk menyingkirkan Presiden parti itu Datuk Seri Ong Tee Keat dan diganti dengan calon yang dilihat lebih senada dengan Umno, Datuk Seri Chua Soi Lek.

Keputusan Najib untuk memulau Mesyuarat Agung MCA Ahad lalu memberi tamparan kepada Tee Keat yang mengisythiarkan bahawa beliau tidak mahu MCA bergantung lagi kepada ‘tongkat’ pihak ketiga bagi meneruskan agenda politik kaum Cina.

Kenyataan itu ditujukan khusus kepada Umno dan Najib yang dilihat selama ini banyak campur tangan dalam hal ehwal parti berkenaan.

Ia juga ditujukan kepada Soi Lek yang tiba-tiba menarik balik sokongan untuk Tee Keat dan dijangka mencabar menteri pengangkutan itu untuk jawatan tertinggi MCA pada pemilihan hujung bulan ini.

Sejak memimpin Pemuda MCA lagi, Tee Keat dikenali sebagai pemimpin yang lantang dan sering tidak sebulu dengan pemimpin Umno.

Malah keghairahan pemimpin MCA untuk mentaati sebarang desakan pemimpin Umno pada mesyuarat Kabinet dan di Parlimen dilihat penyebab utama parti itu tewas besar dalam pilihan raya umum 2008 lalu.

Tindakan Tee Keat membuat pelbagai pendedahan bersabit skandal PKFZ jelas mencemaskan Umno dan Najib yang kemudiannya mengarahkan siasatan Kementerian Pengangkutan di ambil alih oleh pihak lain.

Pada masa sama, Najib turut memberi tempat kepada Soi Lek sebagai penyelaras Barisan Nasional, walaupun beliau terbabit dengan skandal video seks. Laporan polis yang dibuat terhadap Soi Lek bersabit video itu juga ‘dilupakan’.

Naib Presiden KEADILAN Dr Lee Boon Chye berkata Tee Keat akan menghadapi saingan hebat untuk mengekalkan jawatannya.

"Masalah Tee Keat adalah kerana beliau tidak mahu bekerjasama dengan Umno tetapi Soi Lek dan Liow Tiong Lai pula sedia berkomplot bersama Umno untuk terus menguasai MCA.

"Umno memberi kekuatan kepada puak pilihan mereka untuk menggagalkan Tee Keat dalam pemilihan kerusi MCA nanti," katanya.

Penganalisis politik Ann Wan Seng yang menyatakan MCA sekarang berada dalam keadaan retak menunggu belah kerana parti itu terlalu bergantung kepada Umno.

"MCA terlalu bergantung pada Umno yang semakin membelakangi parti itu. Ahli-ahli MCA pula tidak boleh lagi menerima kepimpinan parti yang sudah tiada hala tuju, membuatkan mereka berada dalam keadaan terkontang-kanting," katanya.

Menurut Wan Seng lagi, walau siapapun yang menang nanti, MCA tetap akan terus bergantung kepada Umno kerana tanpa Umno, MCA tidak mampu berdiri sendiri.

"Umnolah yang menentukan masa depan MCA, bukannya MCA sendiri lagi," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.

Memetik laporan Malaysiakini, seorang penganalisis politik berkata Tee Keat mempunyai jumlah kukuh kira-kira seramai 600 undi daripada seramai kira-kira 2,400 perwakilan berdasarkan bilangan yang hadir di Perhimpunan Agung Tahunan ahad lalu.

Sementara puak Liow mempunyai sokongan dengan kekuatan yang lebih kurang sama.

"Hanya Soi Lek mempunyai sokongan satu pertiga atau kira-kira 800 perwakilan berdasarkan kempen tandatangannya yang lepas untuk mendesak diadakan EGM pada 10 Okt tahun lalu berikutan penyingkirannya dari parti oleh majlis presiden," kata penganalisis itu.

Beliau berpendapat jika berlaku pertandingan tiga penjuru, ia menguntungkan Soi Lek.

"Kerana itu terdapat desas-desus bahawa ada usaha memujuk Tee Keat dan Liow untuk memastikan hanya salah seorang daripada mereka sahaja bertembung dengan Soi Lek," katanya.

Tiada ulasan: