Rabu, 10 Mac 2010

Malaysia ‘negara tua’ pada 2035

PULAU PINANG – Malaysia dijangka menjadi ‘negara tua’ dalam tempoh 25 tahun akan datang apabila penduduk berusia 60 tahun ke atas mencecah 15 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduknya.

Pengarah Bahagian Warga Tua dan Keluarga Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) , Mohd. Hafizal Mohd. Salleh berkata, statistik Jabatan Perangkaan menunjukkan jumlah warga emas meningkat dua kali ganda antara 2010 hingga 2035.

Menurutnya, bilangan warga emas di Malaysia ketika ini adalah 1.8 juta orang atau tujuh peratus daripada jumlah penduduk tetapi ia dijangka meningkat kepada 3.4 juta orang atau 10 peratus menjelang tahun 2020 dan terus meningkat 5.1 juta orang atau 15 peratus pada 2035.

“Pertambahan tersebut berlaku kesan kesedaran masyarakat berkaitan aspek penjagaan kesihatan sehingga berjaya meningkatkan jangka hayat daripada 55 tahun selepas merdeka kepada 75 tahun pada masa kini.

“Peningkatan jumlah warga emas cabaran kepada kerajaan dalam menyediakan kemudahan terutama infrastruktur, perumahan, perubatan dan kesihatan,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan seminar Kasih Sayang Antara Generasi Membanteras Penganiayaan Sesama Insan anjuran Persatuan Gerontologi Malaysia (GeM) di sini hari ini.

Persidangan sehari yang dihadiri kira-kira 280 peserta itu dianjurkan dengan kerjasama JKM, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) serta Jabatan Pembangunan Wanita (JPW).

Mohd. Hafizal memberitahu, sehingga kini terdapat antara 300 hingga 400 orang daripada 2,000 warga emas yang berada di JKM mempunyai waris dan anggota keluarga.

Namun apa yang menyedihkan, kata beliau, waris atau anggota keluarga warga emas berkenaan tidak mahu menjaga golongan tersebut.

“Saya tidak tahu mengapa. Mungkin inilah kesannya jika kasih sayang antara ahli dalam keluarga dan generasi tidak dipupuk dalam diri masing-masing,” katanya.

Tiada ulasan: