Isnin, 1 Mac 2010

Ketua Umno Bahagian Cheras, keluarga diikat

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim


AMPANG: Ketua Umno Bahagian Cheras, Senator Datuk Wira Syed Ali Al Habshee mengalami saat cemas apabila beliau dan keluarganya menjadi tawanan tiga penjenayah warga asing selama dua jam dalam kejadian pecah rumah di kediamannya di Taman TAR di sini, semalam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, mangsa dikatakan tidur di bahagian atas rumah tiga tingkat sebelum dikejutkan tiga penjenayah yang bersenjatakan pisau dan parang.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan, berkata tiga penjenayah terbabit dipercayai menggunakan laluan kolam renang di belakang kediaman mangsa untuk masuk ke pekarangan rumah sebelum mengumpil jeriji pintu kediaman berkenaan.

“Difahamkan, penjenayah yang masuk ke dalam rumah terbabit kemudian mengambil beberapa bilah pisau dari dapur sebelum menuju ke bilik tidur utama di tingkat atas,” katanya ketika dihubungi di sini.

Abd Jalil berkata, seorang daripada penjenayah kemudian mengejutkan mangsa sambil mengacukan pisau di leher mangsa dan diarah tidak menjerit atau melawan.

“Mangsa diacukan pisau di leher diarah menyerahkan semua barang berharga, termasuk wang, barang kemas dan telefon bimbit yang disimpan dalam peti besi.

“Tiga lelaki berkenaan kemudian bertindak mengikat mangsa, isteri, dua anaknya dan pembantu rumah sebelum melarikan diri ke kawasan hutan berbukit di belakang kediaman terbabit,” katanya.

Beliau berkata, mangsa bagaimanapun berjaya membuka ikatan dua jam kemudiannya sebelum melaporkannya kepada polis

“Siasatan awal mendapati suspek adalah rakyat Indonesia dan berusia lingkungan 40-an berdasarkan percakapan mereka. Kerugian dianggarkan bernilai lebih RM300,000.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata. Usaha menjejaki suspek juga sedang giat dijalankan termasuk menggunakan khidmat anjing pengesan,” katanya.

Tiada ulasan: