Ahad, 14 Mac 2010

Karnival Sungai Klang 13 Mac 2010

FREE MALAYSIA TODAY

20091002112614_khalid ibrahim Empat syarikat pulih Sungai Klang

KLANG: Kerajaan Selangor telah memilih empat syarikat untuk menjalankan Projek Pemulihan dan Pembangunan Sungai Klang yang menjadi tumpuan utama dalam Pakej Rangsangan Ekonomi.

Empat syarikat itu ialah TSS-Mako Engineering Sdn Bhd, GJA Engineering & Construction, Wessex Water i-Berhad Consortium dan DPZ Asia Sdn Bhd.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, empat syarikat ini dipilih daripada 37 syarikat yang telah menghantar kertas
cadangan kepada kerajaan negeri sejak Oktober tahun. lalu.

"Empat syarikat ini dipilih berdasarkan pengalaman dan kepakaran teknikal dalam kerja membersih, memulihara dan membangunkan
sungai selain mempunyai kewangan yang kukuh," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Mengenai prestasi syarikat-syarikat itu beliau berkata, TSS-Mako adalah syarikat usaha sama antara syarikat tempatan dengan tiga
firma kejuruteraan terbesar dari Korea.

"Syarikat ini mempunyai pelbagai pengalaman menguruskan projek membabitkan sungai termasuk projek penyelenggaraan Sungai Han Selatan, Projek Terowong Pelayaran Seoul-Incheon dan Terminal Kontena Gemalink Fasa Satu di Vietnam.

"GJA Engineering pula dimiliki 100 peratus Bumiputera dan sejak tiga tahun lalu, syarikat ini terbabit dalam membangunkan projek ‘reka dan bina’ untuk Kementerian Pelajaran Malaysia. "Wessex Water pula syarikat berpangkalan di United Kingdom yang terbabit merawat air kumbahan di kawasan seluas 10,000 kilometer persegi di barat daya England," tambahnya.

Menurut Khalid, air yang dirawat itu dibekalkan kepada 1.25 juta pengguna atau 353 juta liter air sehari.

"Dengan kerjasama dengan syarikat tempatan, i-Berhad, Wessex Water i-Berhad Consortium ini dijangka menghasilkan keputusan yang positif," terang beliau.

Sementara DPZ Asia Sdn Bhd pula katanya, adalah pakar dalam bidang perancangan serta rekaan dan telah terlibat dalam banyak projek mega di seluruh dunia.

Khalid berkata, kerajaan Selangor yakin empat syarikat ini akan bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri dan agensi berkaitan untuk memastikan projek ini berjaya. Ini adalah projek usahasama kerajaan dan swasta atau Public-Private Partnership (PPP).

Pakar teknikal berpengalaman yang mewakili empat syarikat ini akan membentuk Sekretariat Projek Pemulihan dan Pembangunan Sungai Klang bersama-sama kerajaan negeri Selangor.

Kerajaan Selangor menaruh keyakinan tinggi bahawa projek ini akan berjaya. Sejak beberapa tahun lalu, usaha membersihkan Sungai Klang telah dijalankan tetapi projek ini masih tidak berjaya.

Projek ini akan menjadikan Sungai Klang bersih pada masa akan datang dan menjadikan kawasan tebing sungai serta kawasan sekitarnya sesuai untuk pembangunan ekonomi dan pusat komuniti.

"Kerajaan Selangor komited untuk menjadikan Sungai Klang sebagai harta yang berharga kepada ekonomi dan rakyat negeri ini," ujar beliau.

Tiada ulasan: