Ahad, 7 Mac 2010

Bukit Antarabangsa: Selangor sediakan peguam bantu mangsa tanah runtuh

BERNAMA

KUALA LUMPUR — Kerajaan Selangor bersetuju menyediakan peguam dan membiayai kosnya untuk membantu penduduk yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di negeri itu mendapatkan pampasan dan sebagainya di mahkamah.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata ianya termasuk mangsa kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa pada Disember 2008.

“Kita sudah buat persetujuan, mereka (penduduk) akan buat jawatankuasa dan kita akan beri satu peguam dan kita akan beritahu kerajaan negeri, dan kerajaaan negeri akan memanggil peguam-peguam tersebut untuk berbincang,” katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan bersama penduduk Wangsa Height, Bukit Antarabangsa dan Dataran Ukay, di sini hari ini.

Beliau berkata langkah itu diambil bagi meringankan beban mereka yang bukan sahaja kehilangan harta benda tetapi juga nyawa.

Sementara itu dalam isu berkaitan, Khalid berkata kerajaan negeri akan menggazetkan kawasan kelas tiga dan empat di seluruh negeri sebagai kawasan yang tidak boleh dibangunkan.

“Keadaan (di kawasan) ini akan dipantau oleh Majlis Perbandaran supaya ianya tidak menyebabkan keruntuhan tanah di persekitaran tersebut,” katanya.

Tanah yang dikategorikan kelas tiga mempunyai ekosistem yang sensitif, mudah terjejas tetapi tidak berbahaya kepada penduduk atau pengunjung, manakala kelas empat pula mempunyai ekosistem sensitif yang mudah terjejas dan berbahaya kepada penduduk dan pengunjung apabila sesuatu pembangunan dijalankan.

Abdul Khalid juga berkata berdasarkan pemantauan pihak berkuasa di 600 kawasan tanah bercerun di Selangor, 28 daripadanya adalah kritikal dan mempunyai ciri-ciri untuk berlaku tanah runtuh.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan kawasan yang terlibat.

Tiada ulasan: