Sabtu, 6 Mac 2010

AGM Ahad diteruskan, pemilihan baru 28 Mac

MALAYSIA KINI


MCA akan mengadakan pemilihan baru pucuk pimpinan parti itu pada 28 Mac, kata setiausaha agungnya, Datuk Wong Foon Meng, hari ini.

Beliau juga meminta kedua-dua pergerakan Wanita dan Pemuda MCA supaya mengambil tindakan yang sama dengan badan induk itu.

Bagaimanapun Wong berkata jawatankuasa pusat (CC) tidak mempunyai kuasa bagi memaksa mereka membuat pemilihan semula.

Beliau juga mengumumkan bahawa perayaan ulang tahun MCA yang dijadualkan pada Sabtu ini akan dteruskan.

Selain perayaan sambutan ulangtahun, mesyuarat agung tahunan (AGM) yang dijadualkan pada Ahad ini juga diteruskan.

Wong juga berkata CC mengarahkan sayap Pemuda dan Wanita parti itu mengadakan AGM mereka esok seperti yang termaktub dalam peraturan parti bahawa kedua-dua sayap parti wajib mengadakan mesyuarat itu selaras dengan badan induk mereka.

Usaha itu dilihat sebagai tindakan terdesak oleh Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat untuk cuba melakukan sesuatu pada saat terakhir untuk mengecewakan 'penentangnya' - Ketua Pemuda, Datuk Wee Ka Siong dan Ketua Wanita, Datuk Paduka Chew Mei Fun.

Awal hari ini, kedua-dua pergerakan itu membuat sidang akhbar bagi membatalkan AGM mereka.

Wong bercakap kepada pemberita selepas bermesyuarat lebih tiga jam setengah di Wisma MCA.

Ong tidak hadir pada sidang akhbar itu kerana terpaksa bergegas untuk majlis lain di Putrajaya.

CC yang bermesyuarat hari ini juga meminta Wong untuk mengendalikan EGM yang perlu diadakan sebelum pemilihan baru pemimpin boleh diadakan.

Khamis lalu, timbalan presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek dan naib presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai bersama 19 pemimpin lain meletakkan jawatan yang menyaksikan pemilihan baru terpaksa diadakan.

Mengikut perlembagaan parti, pemilihan baru itu perlu diadakan dalam tempoh 30 hari selepas perletakan jawatan berkenaan.

Tiada ulasan: