Jumaat, 5 Mac 2010

ADUN BBC Selangor ikrar taat setia kepada MB

Hazlan Zakaria



Ahli-ahli kelab penyokong kerajaan (BBC) Selangor hari ini mengikrarkan taat setia mereka terhadap Pakatan Rakyat dan meluahkan sokongan terbuka kepada Menteri Besar Selangor.

NONE“BBC yakin dengan kepimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim dan barisan exconya yang bekerja keras untuk membangunkan Selangor. Di bawah konsep 'Merakyatkan Ekonomi Selangor', kerajaan Pakatan Rakyat telah membawa perubahan dalam mentadbir kerajaan negeri berbanding dengan kerajaan dahulu.

“Pelbagai program telah dilancarkan untuk memanfaat golongan anak-anak kecil, pemuda yang menuntut di institusi pengajian, golongan usia emas dan sebagainya,” kata timbalan pengerusi BBC Selangor, Abdul Rani Osman.

Kenyataan ikrar taat setia itu dibacakan oleh Abdul Rani yang juga adun bagi Meru.

Pada sidang akhbar, pagi tadi, BBC Selangor juga membidas tindakan tiga ahli parlimen - Zahrain Hashim (Bayan Baru), Tan Tee Beng (Nibong Tebal) and Mohsin Fadzli Samsuri, yang berpaling tadah dan meninggalkan PKR baru-baru ini.

Menurut Abdul Rani lagi, tindakan tiga MP berkenaan mengkhianati mandat rakyat.

NONEKatanya, perbuatan mereka juga disifatkan sebagai sebahagian daripada konspirasi BN untuk menghancurkan Pakatan.

“Kejadian ahli-ahli parlimen mengisytiharkan mereka hilang keyakinan kepada PKR dan mahu membina 'barisan indipenden' bukanlah suatu hal yang terjadi tiba-tiba.

“Tindakan pelompat ini didorong oleh imbuhan kewangan. BBC percaya bahawa sebab-sebab yang diberikan oleh mereka merupakan alasan semata-mata untuk menutup kelemahan-kelemahan mereka sendiri,”katanya.

Lapan daripada 24 ahli BBC Selangor hadir pada sidang media hari ini.

Tiada ulasan: