Ahad, 9 Ogos 2009

Laman web timbalan menteri digodam

BERNAMA


MIRI: Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Fadillah Yusof, tidak terkecuali daripada menjadi mangsa serangan siber apabila laman web peribadinya digodam baru-baru ini.

Ketika mendedahkan perkara itu semasa merasmikan seminar kesedaran keselamatan siber untuk semua dan pelancaran portal di sini hari ini, beliau berkata insiden itu berlaku tiga minggu lalu yang memaksa laman itu digantung.

Katanya, insiden itu menggambarkan keperluan bagi meningkatkan teknologi keselamatan siber negara bagi menangkis ancaman siber.

"Insiden lepas mengenai penipuan internet adalah cukup untuk menunjukkan keselamatan siber perlu diberi perhatian kerana penggantungan dunia terhadap ICT akan terus meningkat," katanya.

Fadillah berkata, kementerian itu melalui CyberSecurity Malaysia secara berterusan melengkapkan diri mereka dengan teknologi terbaru untuk memintas jenayah internet dan membangkitkan kesedaran mengenai ancaman itu terhadap orang ramai.

Seramai 203 peserta, kebanyakannya pelajar sekolah menengah mengambil bahagian dalam seminar sehari itu.

Tiada ulasan: