Ahad, 9 Ogos 2009

'Jangan benarkan internet ditapis'

MALAYSIA KINI


Internet tidak perlu ditapis dalam apa cara sekalipun, dan salah untuk melakukannya walaupun ada perkara yang perlu dikawal, tegas bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Sebagai contoh, terlalu banyak keganasan datang melalui internet. Itu, saya rasa, kita ada hak untuk tidak membenarkannya," katanya selepas berucap pada sidang kemuncak pemimpin pelajar Malaysia di Kuala Lumpur semalam.

Menurut Bernama, beliau berkata semasa pentadbirannya, apabila kerajaan memulakan Koridor Raya Multimedia (MSC), beliau memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan menapis internet.

"Jadi mungkin ia jaminan yang saya beri ketika zaman saya. Saya tidak tahu sama ada ia akan dipegang oleh kerajaan sekarang," beliau dipetik berkata.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim kelmarin berkata kerajaan akan mengkaji untuk meletakkan tapisan pada internet bagi menghentikan akses kepada laman web yang tidak dikehendaki.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagaimanapun berkata kerajaan tidak berhasrat untuk mengawasi dan menapis kandungan internet kerana langkah itu bukan hanya tidak berkesan tetapi juga akan menyebabkan rakyat tidak berpuas hati.

Tiada ulasan: