Khamis, 20 Ogos 2009

Gobalakrishnan nafi cetus kekecohan

pemudasarawak


PADANG SERAI – Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan menafikan dakwaan bahawa beliau menjadi punca kekecohan selepas penamaan proses penamaan calon di hadapan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di sini.

Menurutnya, beliau hanya melaungkan kata-kata semangat antaranya ‘Reformasi’ kepada ribuan penyokong Pakatan Rakyat (PR) yang berhimpun di hadapan pintu masuk pusat penamaan calon.

“Saya hanya melaungkan kata-kata semangat kepada penyokong PR yang berhimpun pada hari penamaan calon. Pembesar suara yang saya gunakan bukanlah kepunyaan saya. Saya langsung tidak memegang pembesar suara tersebut,” katanya.

:Beliau mendakwa anggota polis mengasarinya sehingga mengakibatkan beliau cedera lengan sebelah kiri. Dalam pergelutan itu, beliau telah rebah ke jalan raya dan digari.

“Saya kecewa kerana dikasari seperti seorang penjenayah dan mengakibatkan tangan saya cedera dan seluar yang saya pakai dikoyakkan pegawai polis sehingga mengaibkan saya.

“Semua ini dirakam dan polis tidak seharusnya bersikap sedemikian. Saya kemudiannya dibawa ke Hospital Bukit Mertajam untuk menerima rawatan dan saya buat laporan polis mengenai kejadian itu,” katanya.

Berikutan insiden itu, Gobalakrishnan semalam dihadapkan di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam kerana didakwa menghalang seorang pegawai polis, N M Karunamuthi menjalankan tugas di hadapan IKBN di sini jam 11 pagi, kelmarin.

Beliau diwakili peguam bela pakatan pembangkang, RSN Rayer, JM Martin, Lim Boo Chang, Mohd Asman Harun, Mustafa Basri, Ahmad Tarmizi Jesoh, Harryzam Yaakub dan Lim Boon Beng manakala pendakwaan dijalankan oleh timbalan pendakwa raya Suhaimi Ibrahim.

Rayer memohon kepada mahkamah agar menyimpan tali pinggang dan seluar koyak Gobalakrishnan kerana ia merupakan bukti penting.

Beliau juga memohon mahkamah supaya menetapkan tarikh sebutan selepas sebulan bagi membolehkan Gobalakrishnan mendapatkan rawatan di hospital.

Bagaimanapun, Majistret Mohd Azhar Hamzah menolak permohonan Rayer dan menetapkan 28 September tarikh sebutan dan menetapkan jaminan sebanyak RM2,000. Isteri Gobalakrishnan V Vasanthi membayar jaminan itu.

Tiada ulasan: