Rabu, 19 Ogos 2009

Cemar nama Langkawi

Oleh Zainuddin Zain


ALOR STAR: Sindiket tertentu dikesan mengedarkan filem berjudul ‘Love Asia’ membabitkan 10 model terkenal Asia dari Jepun, Hong Kong, Thailand dan China yang mengadakan sesi fotografi dalam aksi ‘panas’ di beberapa lokasi yang didakwa sekitar Langkawi dan Kuala Lumpur.

Filem dalam bentuk cakera video digital (DVD) sekitar RM8 kini dijual secara terbuka di bandar raya ini terutama pusat cadera padat video (VCD) dan DVD di kompleks beli-belah dan rumah kedai.

Bagaimanapun, dakwaan itu terbukti tidak benar sebaliknya hanya gimik untuk melariskan DVD berkenaan.

Ini kerana penelitian mendapati tiada rakaman aksi keterlaluan dalam DVD selama kira-kira sejam ini kecuali sesi fotografi dalam keadaan menghairahkan termasuk tanpa memakai baju dalam, tetapi tidak ditunjukkan payu dara model berkenaan sama ada ditutup secara berbaring atau kain halus.

Selain itu, model dikenali sebagai Maggie Q, Lin Chi-Ling, Queenie, Mayuko, Kae, Aysha, Almen, Jacqueline dan Grace turut memakai bikini yang cukup seksi dengan pengambaran dirakamkan di beberapa lokasi termasuk tepi pantai, tengah laut dan dalam hutan pokok bakau.

Yang menyedihkan ialah di dalam DVD berkenaan tertera segmen semua model berkenaan berbicara mengenai seks dengan ada antara mereka mengaku pernah berbuat demikian dalam kapal terbang, kelas sekolah dan parti sambil bergelak ketawa sesama mereka.

Malah, beberapa model juga berbicara secara terbuka mengenai saiz alat kemaluan lelaki dan cara perhubungan seks berlangsung yang paling digemari mereka.

Seorang eskekutif pemasaran yang enggan dikenali berkata, dia terkejut apabila sebuah pusat VCD dan DVD dalam kompleks beli-belah di bandar raya ini menjual secara terbuka VCD dan DVD panas termasuk filem lucah yang diletakkan di atas rak filem baru.

Menurutnya, VCD dan DVD berkenaan diselitkan antara filem terbaru di pasaran termasuk filem Inggeris, Melayu dan kanak-kanak menyebabkan mereka yang membelek akan melihat dengan jelas kulit luar filem berkenaan dengan jelas.

“Saya terkejut apabila mendapati filem ‘Love Asia’ ini diletakkan antara filem lucah dengan memaparkan kononnya lokasi filem ini tertera dengan jelas di Langkawi dan Kuala Lumpur di kulit muka DVD berkenaan.

“Tindakan ini keterlaluan terutama apabila penjual DVD itu dua gadis Melayu berusia belasan tahun atau paling tua awal 20-an yang turut mempromosikan DVD ini tanpa perasaan malu.

“Yang menyedihkan gadis ini mengaku dibayar hanya RM450 sebulan dan ‘taukenya’ bukan beragama Islam,” katanya yang membeli dua DVD dengan satu ‘Love Asia’ dan satu lagi filem lucah sepenuhnya yang menggambarkan seks ganas termasuk sehingga berdarah untuk dijadikan bahan bukti kepada pihak berkuasa.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah, Salleh Maamor, berkata sindiket berkenaan mungkin mengambil kesempatan menjual secara terbuka filem lucah berikutan pihaknya sibuk dengan operasi gula sekarang.

“Bagaimanapun, filem lucah di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM). Namun, saya sudah mengarahkan pegawai saya menjalankan pemeriksaan petang semalam (kelmarin) ke atas kedai VCD dan DVD dimaksudkan pengadu di Kompleks City Plaza di sini dan mendapati kebenaran.

“Pegawai kita memaklumkan kejayaan merampas banyak DVD cetak rompak dan lucah,” katanya.

Beliau memberi jaminan operasi sama akan diperluaskan ke kompleks beli-belah dan rumah kedai yang menjual DVD dan VCD cetak rompak dan lucah di bandar raya ini.

Tiada ulasan: