Sabtu, 18 Ogos 2018

Sokongan Umno bukan bermakna kami bergabung, kata calon PAS Seri Setia

 
Dr Halimah berkata, PAS mahu membentuk blok pembangkang yang kuat.


Calon PAS di Seri Setia, Dr Halimah Ali.


PETALING JAYA: Walaupun menerima sokongan daripada pemimpin Umno hari ini, calon PAS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia dalam pilihan raya kecil (PRK) 8 September depan, Dr Halimah Ali berkata, ia tidak bermakna mereka bergabung.

“Ini bukan gabungan, dulu kata kita UG dengan Umno, tapi Umno sekarang bukan kerajaan, kita mahu blok pembangkang kuat ,itu sebab kita tidak bertentang (lawan) dengan Umno,” katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon di Dewan Sivik Dewan Bandaraya Petaling Jaya.

Halimah yang hadir ke pusat penamaan calon bagi menyerahkan borang pencalonan beliau turut diiringi Naib Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ketua Wanita Umno, Datuk Dr Noraini Ahmad dan Datuk Lokman Noor Adam, calon Barisan Nasional (BN) dalam PRK DUN Sungai Kandis baru-baru ini.

Halimah berkata kemenangan PAS dalam PRK itu akan mewujudkan semak imbang lebih baik di peringkat negeri dan juga pusat. Katanya semak imbang sedemikian adalah perlu walau secekap manapun pentadbiran kerajaan.

Beliau menolak, dakwaan mengatakan Seri Setia merupakan kubu kuat PH kerana PAS juga telah lama bertapak di DUN berkenaan.

“Tidak ada kubu kuat, Umno juga 63 tahun, kita boleh kata kubu kuat juga,” katanya dan berharap pengundi Seri Setia memberi kemenangan kepadanya.

Dalam pada itu, calon Pakatan Harapan (PH) Halimey Abu Bakar berkata beliau akan bekerja keras bagi mempertahankan kerusi tersebut dalam pilihan raya 8 September depan.

“Salah satu perkara yang akan saya beri perhatian ialah isu Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang, infrastruktur dan kemudahannya.

“Ada banyak PPR dan rumah kos rendah di sini,” katanya dan menambah bahawa beliau akan cuba mengatasi masalah kemiskinan di kawasan itu.

Mengulas mengenai kemungkinan pembangkang  mengunakan kegagalan PH menunaikan janji 100 hari pentadbirannya  sebagai bahan kempen, Halimey berkata ia tidak menjadi masalah kerana di Selangor banyak janji ditunaikan.

“Kita fokus di Selangorlah. Tidak ada sebarang masalah,” katanya.

Kerusi Seri Setia kosong berikutan kematian penyandangnya Dr Shaharuddin Badaruddin kerana kanser usus pada 2 Ogos lepas.

Dr Halimah bakal berdepan satu lawan satu dengan Halimey seperti diumumkan Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi PRK Seri Setia Datuk Mohd Azizi Mohd Zain selepas tempoh proses penamaan  tutup jam 10 pagi.

Pengundian awal ditetapkan pada 4 September, dengan tempoh berkempen selama 21 hari sehingga jam 11.59 malam 7 September depan.

Tiada ulasan: