Rabu, 22 Ogos 2018

‘Selain PM, Abdullah Sani perlu minta maaf pada Azmin, Zuraida’

 
Calon Majlis Pimpinan Pusat PKR, Syarul Ema Rena Abu Samah berkata, ahli Parlimen Kapar itu sepatutnya berkempen tanpa perasaan dengki, bukannya menyerang peribadi lawan sejak awal lagi. 


Syarul Ema Rena Abu Samah berkata, Abdullah Sani Abdul Hamid perlu memohon maaf kepada Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin kerana mendakwa mereka bersekongkol menghalang Anwar menjadi perdana menteri.

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Wanita PKR menyifatkan Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid “memalukan diri” kerana terpaksa memohon maaf kepada Tun Dr Mahathir Mohamad selepas mendakwa perdana menteri cuba menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.

Syarul Ema Rena Abu Samah

Calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Syarul Ema Rena Abu Samah yang lebih dikenali sebagai Ratu Naga berkata, Sani sepatutnya berkempen tanpa perasaan dengki, bukannya menyerang peribadi lawan sejak awal lagi.

“Dari awal saya ada pesan secara terbuka kepada umum, iaitu ketika pemilihan berlangsung, biarlah ia berjalan secara bersih dan berintergriti, tanpa ada dengki-mendengki serta serang peribadi, sekarang sudah malu,” kata exco Wanita PKR itu kepada FMT.

Semalam, Sani memohon maaf kepada Dr Mahathir atas dakwaan wujud konspirasi menghalang Anwar menjadi perdana menteri ke-8.

Katanya, Anwar menghubunginya sendiri untuk menjelaskan situasi sebenar dan beliau kini memahami peralihan kuasa antara 2 pemimpin itu.

Syarul Ema berkata, selain Dr Mahathir, Sani juga perlu memohon maaf kepada Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali dan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin kerana mereka turut didakwa bersekongkol menghalang Anwar diangkat sebagai perdana menteri.

“Ikutkan, (Sani) perlu minta maaf sebab beliau sudah memfitnah Azmin dan Zuraida, tapi rasanya tak ada nilai maaf Abdullah Sani ini sebab dalam hati Azmin dan Zuraida memang sentiasa bersih dan tak kisah orang nak fitnah macam manapun, mereka sudah biasa didengki manusia hati busuk.”

Sani menerusi ucapannya dalam siri ceramah di Seremban pada 11 Ogos lalu mendakwa Dr Mahathir dan ketua Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin bersama Azmin cuba menghalang peralihan kuasa kepada Anwar seperti dipersetujui pimpinan Pakatan Harapan (PH) sebelum pilihan raya umum ke-14.

Katanya, langkah mengangkat Anwar menjadi perdana menteri akan terbantut, jika Azmin memenangi jawatan timbalan presiden yang dicabar Rafizi Ramli.

Adun Ijok, Dr Idris Ahmad pula mendakwa Dr Mahathir dan Daim “menaja” beberapa pemimpin PKR untuk memusnahkan parti itu dari dalam. Perdana menteri menyangkal semua dakwaan itu dengan meminta pihak terbabit menunjukkan bukti.

Calon naib ketua Wanita PKR yang pro Rafizi, Datin Faezah Ariffin dalam ceramah sama 11 Ogos lalu mendakwa Zuraida tidak membawa banyak perubahan, sebaliknya menjadi punca pelbagai kepincangan semasa menerajui sayap parti itu.

Syarul Ema menasihatkan Faezah supaya menghormati lawan dan mempelajari cara berpolitik dengan hemah.

“Faezah kena banyak belajar berpolitik dan menghormati orang dulu supaya insiden sama tidak berulang lagi, nak minta maaf kena ikhlas,” katanya menjawab soalan sama ada Faezah perlu memohon maaf kepada Zuraida

Tiada ulasan: