Rabu, 15 Ogos 2018

PPBM SIFATKAN ABDULLAH SANI BIADAB



‘Perang’ antara PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) semakin hangat apabila antara pemimpin sering berbalas serangan berhubung dakwaan wujud plot bagi menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada menjadi Perdana Menteri.

Terbaru Ketua Badan Pimpinan PPBM Terengganu, Datuk Razali Idris menyifatkan tuduhan mengaitkan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin kononnya menjadi dalang bagi plot itu sebagai melampau dan biadab.

Razali berkata, dakwaan Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid itu bukan saja tidak wajar, malah boleh memecahbelahkan kesepakatan yang dipupuk dalam parti komponen Pakatan Harapan (PH).

“Saya anggap dakwaan ini sangat melampau dan biadab. Tidak wajar mengaitkan nama Dr Mahathir dalam pemilihan kepemimpinan parti PKR hanya semata-mata ingin memenangkan calon kumpulan mereka.

“Pucuk pimpinan PKR khususnya Datuk Seri Anwar perlu membendung segera kenyataan tidak berasas seperti ini.

“Abdullah Sani perlu berhati-hati mengeluarkan kenyataan dan kemukakan bukti yang jelas dengan membuat laporan terperinci kepada pucuk pimpinan parti mengenai setiap dakwaannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Abdullah yang secara terbuka menyatakan sokongan kepada Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa Mahathir dan Daim berkomplot dengan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi menghalang Anwar menjadi Perdana Menteri.

Dakwaan itu timbul menjelang pemilihan PKR yang bakal menyaksikan pertembungan antara Mohamed Azmin dan Rafizi bagi jawatan Timbalan Presiden.

Mengulas lanjut, Razali berkata, andai tidak dibendung segera, hasutan seperti dilakukan Abdullah Sani itu boleh memberi kesan buruk terhadap keharmonian dalam PH.

“Abdullah Sani tidak terpilih menganggotai Kabinet dan itu sebenarnya perkara pokok yang menyebabkan beliau menghasut ahli PKR membenci Tun (Dr Mahathir),” katanya.


Tiada ulasan: