Jumaat, 3 Ogos 2018

Penternak dakwa industri ikan patin Temerloh semakin gelap

Siti Nursyazwani, Astro Awani
Penternak dakwa industri ikan patin Temerloh semakin gelap
Pengusaha ikan patin percaya tanpa penguatkuasaan dan kerjasama pihak tertentu, Temerloh yang sinonim dengan nama bandar ikan patin akan terus dipandang sepi. - Gambar hiasan
 
 
TEMERLOH: Di sebalik kerancakan industri ikan patin di Temerloh, terdapat pengusaha yang merasakan industri ini bakal lenyap sekiranya dipandang remeh kerajaan negeri.

Menurut mereka, industri ikan patin sangkar perlu diberi perhatian kerana ia mampu memberikan pulangan lumayan kepada rakyat jika dilakukan secara bersungguh-sungguh.

Pengerusi Persatuan Penternak dan Peniaga Ikan Sangkar Temerloh, Khaidir Ahmad, bagaimanapun mendakwa, industri ikan ini semakin gelap dek kerana air sungai yang tercemar.

“Produktiviti ikan patin ini merosot kerana kemerosotan kualiti air sungai yang tercemar akibat aktiviti pembalakan yang berleluasa.

Pengerusi Persatuan Penternak dan Peniaga Ikan Sangkar Temerloh, Khaidir Ahmad.
Pengerusi Persatuan Penternak dan Peniaga Ikan Sangkar Temerloh, Khaidir Ahmad.

“Bukan itu sahaja, aktiviti pam pasir yang berleluasa juga boleh menyebabkan sangkar rosak, seterusnya menyebabkan ikan patin mati pada kadar yang banyak,” katanya ketika ditemui Astro AWANI.

Khaidir berkata, industri ini berupaya mewujudkan rangkaian ekonomi pelbagai, sekali gus meningkatkan lagi taraf pendapatan pengusaha setempat sekiranya kerajaan negeri bersungguh-sungguh membantu lebih 300 ahli persatuan.

Dia turut menyarankan supaya tindakan menyeluruh untuk jangka panjang dan jangka pendek diambil bagi menyelamatkan industri ini.

Bukan hanya Khaidir yang merasakan bebanan itu, malah pengusaha lain seperti Wan Mohd Sofian Wan Husain turut mendakwa merasakan tekanan serupa.


Pengusaha ikan patin, Wan Mohd Sofian Wan Husain.
Pengusaha ikan patin, Wan Mohd Sofian Wan Husain.

Katanya, sekiranya tiada penguatkuasaan dan kerjasama diberikan pihak tertentu, pasti Temerloh yang sinonim dengan nama bandar ikan patin akan terus dipandang sepi.

“Saya akui perkara ini kerana saya dapati Temerloh ini ada potensi untuk maju kalau kita usahakan ikan patin dengan cara yang sesuai.

“Tetapi sejak setahun dua ini, masalah sebegini timbul," katanya merujuk kepada isu pencemaran air sungai akibat aktiviti pembalakan yang tidak dikawal.

Aktiviti pam pasir yang berleluasa juga boleh menyebabkan sangkar rosak.
Aktiviti pam pasir yang berleluasa juga boleh menyebabkan sangkar rosak.

Tambahnya, keadaan lebih disulitkan apabila bandar Temerloh tidak terletak di laluan utama sejak adanya Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

“Jika ikan patin bukan tumpuan utama di sini dan tidak dapat menarik orang ramai untuk berkunjung, maka sah lah Temerloh ini bandar mati,” ujarnya.

Justeru, pihak berkuasa digeasa untuk memastikan industri ikan patin menyinar kembali di bandar ini.

Astro AWANI sedang cuba mendapatkan reaksi pihak berkuasa berkenaan dakwaan ini.

Tiada ulasan: