THE MALASIAN TIMES
KUALA LUMPUR: Kepimpinan tertinggi PAS akan bermesyuarat pada Sabtu untuk membincangkan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, kata Timbalan Presidennya Tuan Ibrahim Tuan Man.
Katanya PAS akan membuat keputusan muktamad berhubung penampilan calon parti itu pada mesyuarat berkenaan.
“Pada prinsipnya kemungkinan besar kita yang akan bertanding, PAS akan letak calon,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, setelah diminta mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan yang mengumumkan BN tidak akan bertanding bagi memberi laluan kepada calon PAS pada PRK itu.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim, yang juga Anggota Parlimen Kubang Kerian, berkata PAS bersedia menerima bantuan daripada mana-mana pihak yang mahu membantu parti itu menghadapi pilihan raya kecil itu.
“Kita akan tengok sejauh mana UMNO akan membantu,” katanya.
Kerusi DUN Seri Setia kosong apabila wakil rakyatnya Prof Dr Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia Khamis lalu selepas menderita barah usus.
Timbalan Pengerusi SPR Tan Sri Othman Mahmood dilapor sebagai berkata suruhanjaya itu akan mengadakan mesyuarat khas pada 8 Ogos untuk meneliti aspek lokasi tempat mengundi, keselamatan dan logistik sebelum memutuskan sama ada PRK DUN Seri Setia dan DUN Balakong dapat diadakan serentak.
PRK Seri Setia adalah yang ketiga diadakan di Selangor selepas Pilihan Raya Umum ke-14 Mei lepas. Pada Sabtu lepas, PRK DUN Sungai Kandis menyaksikan kerusi itu kekal milik PKR selepas calonnya Mohd Zawawi Ahmad Mughni menewaskan calon BN, Datuk Lokman Noor Adam dan calon Bebas K. Murthy.
Tuan Ibrahim menolak dakwaan bahawa pengundi PAS memboikot dengan tidak keluar mengundi ekoran peratusan keluar mengundi PRK Sungai Kandis hanya 49.4 peratus susulan keputusan PAS tidak meletak calonnya.
“Tidak timbul isu boikot, kaji selidik mendapati pengundi kita keluar tetapi ada yang tinggal jauh tidak balik, sama juga pengundi BN,” katanya.
SPR menetapkan 8 Sept sebagai hari pengundian PRK DUN Balakong dengan penamaan calon pada 18 Ogos.– Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan