Khamis, 16 Ogos 2018

M’sia akan buktikan pesawat Jho Low dibeli dengan wang curi – Dr M

THE MALAYSIAN TIMES



KUALA LUMPUR: Malaysia akan berusaha membuktikan pesawat peribadi yang didakwa milik ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho, atau Jho Low, dibeli dengan duit yang dicuri daripada negara ini.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata perkara itu penting sebelum pesawat berkenaan dibawa pulang ke negara ini.

“Kita kena buktikan bahawa wang yang digunakan untuk membeli jet itu adalah wang yang dicuri.

“Kalau dia (Jho Low) mencuri wang daripada Malaysia, maka jet itu adalah milik kita, sama seperti bot (Equanimity),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan hospital pakar jantung Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL) di sini hari ini.

Sebelum ini, Dr Mahathir berkata Malaysia sedang berbincang dengan Singapura untuk membawa pulang pesawat peribadi itu.

Pesawat Bombardier Global 5000 yang dianggarkan berharga AS$35 juta itu didakwa dibeli menggunakan wang yang diambil daripada syarikat pelaburan kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ia kini dilaporkan berada di tempat meletak pesawat persendirian di Seletar Aerospace Park, Singapura.

Kapal mewah Equanimity yang diserahkan kepada Malaysia oleh pihak berkuasa Indonesia, tiba di Pelabuhan Klang pada 7 Ogos lepas. Ia turut dikaitkan dengan siasatan skandal 1MDB.

Tiada ulasan: