Jumaat, 24 Ogos 2018

Mahalnya harga sebuah ego, politik dendam: Annuar


Mahalnya harga sebuah ego, politik dendam: Annuar
 
 
SHAH ALAM - Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata akibat dendam dan ego politik PH, rakyat kini menjadi mangsa.

Katanya, ini terbukti menerusi pembatalan beberapa projek terdahulu yang akhirnya merugikan negara dan rakyat.

“Berapakah harga akibat pembatalan  projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), projek bernilai RM46 bilion ini sudah pun berjalan dan mencapai 20 peratus.

“Difahamkan pinjaman dari EXIMBank China sudah di keluarkan (Drawdown) hampir RM20 bilion. Pembatalan ini juga mungkin berdepan dengan tuntutan ganti rugi berbillion ringgit, dan kerja yang 20 peratus menjadi sia sia. Bererti kita boleh kerugian puluhan billion,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kerajaan sebelum ini memaklumkan bahawa projek ini akan dibatalkan, namun menerusi kenyataan terbaharu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan bahawa keputusan pembatalan projek ECRL dan saluran paip Strategic Energy Resources (SSER) belum muktamad.

Memetik wawancara Malaysiakini, beliau berkata, apa yang beliau lakukan pada lawatan rasmi ke China baru-baru ini adalah untuk menetapkan prinsip bergerak ke hadapan namun pembatalan, penangguhan atau penyelesaian cara lain projek berkenaan belum dapat ditentukan lagi.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pembatalan ECRL, SSER belum muktamad]
[ARTIKEL BERKAITAN: Najib senarai lima salah faham ECRL]

Mengulas lanjut, Annuar berkata dalam isu pertukaran sistem cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)  kepada Cukai jualan dan perkhidmatan (SST) negara sudah kehilangan RM 23 bilion.

“Empat bulan kosong GST, kerajaan hilang hampir RM15 bilion, dan jangan lupa input tax tetap dituntut dalam tempoh tersebut.

“Kerugian dalam khazanah, pasaran saham, pelaburan China entah berapa puluh billion lagi,” katanya.

Jelasnya, dalam isu ini kerajaan lama akan menjadi kambing hitam.

“Tapi sebenarnya kerajaan PH dan  dasarnya menyebabkan negara kehilangan berpuluh puluh billion dan rakyat menjadi mangsa, peneroka Felda, peminjam PTPTN,pegawai kerajaan,penerima BR1M,nelayan,pengguna petrol,pengguna tol semua menjadi mangsa,itulah harga politik dendam dan ego, rakyat yang membayarnya,” katanya

Tiada ulasan: