Kerajaan hari ini memfailkan pertuduhan jenayah terhadap ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho (Jho Low) dan bapanya "tanpa kehadiran tertuduh" (in absentia), atas dakwaan penyelewengan wang 1MDB, lapor The Edge hari ini.
Menurut portal dalam talian penerbitan perniagaan itu, Low dan bapanya Larry Low Hock Peng dikenakan tuduhan pengubahan wang haram oleh Jabatan Penyiasatan Jenayah Komersial (CCID) Bukit Aman dan Jabatan Peguam Negara (AGC), di Mahkamah Sesyen di Putrajaya pagi ini.
Menurut laporan itu, pihak polis dan AGC juga memohon waran tangkap dikeluarkan ke atas kedua-dua anak dan bapa itu yang akan membolehkan kerajaan untuk memohan perintah ekstradisi terhadap mereka.
Laporan yang memetik sumber dalam bidang perundangan itu menyifatkan pemfailan tersebut sebagai langkah penting dan berkata: "Dengan pemfailan pertuduhan itu, langkah seterusnya adalah untuk mendapat perintah ekstradisi."
Menurut portal itu, Jho Low dan keluarganya dipercayai bersembunyi di China atau Abu Dhabi.
Dokumen mahkamah yang dilihat oleh The Edge menyatakan bahawa Jho Low dikenakan lapan tuduhan di bawah Seksyen 4 (1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Akta Pencegahan Pembiayaan Keganasan, 2001 (Akta 613) - tiga daripadanya kerana menerima wang dan baki lima lagi disebabkan memindahkan dana.
Bapa Jho Low pula berdepan satu pertuduhan iaitu memindahkan AS$56 juta (RM230 juta) kepada anaknya.
Jumlah yang terlibat dalam urus niaga tersebut adalah kira-kira AS$261 juta (lebih RM1 bilion) untuk penerimaan wang dan AS$196 juta (kira-kira RM805 juta) untuk pemindahan dana - semuanya dilakukan melalui akaun berasingan di Bank BSI Singapura antara Disember 2013 dan Jun 2014.
Menurut The Edge, sebahagian besar wang berkenaan digunakan untuk membeli kapal persiaran mewah Equanimity bernilai AS$250 juta (RM1 bilion), yang kini di bawah jagaan pihak berkuasa Malaysia, selepas diserahkan oleh rakan sejawatannya dari Indonesia pada awal bulan ini.
Laporan itu menyebut bahawa tindakan berkenaan adalah pertuduhan jenayah pertama yang difailkan terhadap Low.
Jabatan Keadilan (DOJ) AS sebelum ini telah memfailkan beberapa saman sivil untuk mendapatkan semula aset yang dibeli dengan wang yang didakwa diselewengkan daripada 1MDB.
Terdahulu hari ini, Jho Low dalam satu kenyataan berkata bahawa 'tindakan' Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu menjual Equanimity pada harga diskaun sebagai "tindakan makan diri" setelah menyedari bahawa kos penyenggaraan kapal itu menelan ratusan juta ringgit.
Permohonan 1MDB untuk menjual Equanimity dengan segera akan didengar di Mahkamah Admiralti Kuala Lumpur petang ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan