Wartawan Watan-Online
Datuk Seri Abdul Hadi Awang melihat kerjasama antara parti Islam itu dengan UMNO pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia sebagai satu isyarat kepada lebih banyak keputusan besar pada masa depan, untuk kedua-dua parti.
Presiden PAS itu berkata, kerjasama yang terjalin pada PRK Sungai Kandis awal bulan ini adalah langkah yang tepat kearah satu kerjasama yanG akan menguatkan pembangkang.
“Saya lihat PRK Sungai Kandis sebagai permulaan positif dan di Seri Setia, ia boleh diperkukuhkan. Ini boleh dilihat melalui kehadiran pemimpin UMNO ketika pengumuman calon dan hari penamaan calon. Ia lebih terbuka sekarang.
“Kita sudah menyaksikan perubahan di Sungai Kandis apabila jumlah pengundi keluar mengundi rendah dan kita melihat peningkatan undi terhadap UMNO selain penurunan untuk PH.
“Ini perubahan yang menarik dan saya berasakan PRK ini akan memberikan kelebihan kepada kami,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat tertutup PRK Seri Setia dengan jentera pilihan raya PAS di Ibu Pejabat PAS Selangor di Shah Alam petang Ahad.
Lebih 50 jentera PAS menghadiri mesyuarat yang dipengerusikan Abdul Hadi, yang pertama diadakan di PAS Selangor selepas PRK Seri Setia diumumkan, berikutan kematian penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos lalu.
Abdul Hadi berkata, beliau tidak beranggapan PAS akan terkesan dengan pembabitan UMNO dalam kempen pilihan raya berkenaan walaupun parti itu terpalit dengan pelbagai skandal.
Katanya, rakyat boleh menilai sendiri janji 100 hari oleh Pakatan Harapan (PH) dan ini boleh menjadi masa sesuai untuk rakyat menilai semula undi yang diberikan kepada pakatan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Sementara itu Abdul Hadi berkata, PAS akan menyertai kempen MCA berdasarkan kepada semangat setiakawan dalam blok pembangkang.
Katanya, DAP pernah menyerang PAS dalam isu hudud berbanding MCA yang mengambil pendekatan lebih lembut dalam isu berkenaan.
“Mengapa kita bekerjasama dengan MCA dan bukan DAP? MCA menentang hudud, DAP juga sama. Tetapi DAP membantah hukum hudud ketika kami bersama-sama dalam Pakatan Rakyat.
Ketika kami berada dalam pakatan sama. Mereka menyerang kami walaupun berada dalam pakatan sama.
“MCA tidak berada dalam pakatan sama. Mereka tidak bersetuju dan hanya mengatakan mereka tidak bersetuju. Mereka tidak menyerang seperti dilakukan DAP. Itu bezanya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan