Isnin, 20 Ogos 2018

Janji gagal ditepati sebab HARAPAN tak ikhlas, kata PAS

MALAYSIAKINI

   

PAS berkata Pakatan Harapan (HARAPAN) sepatutnya mampu mengotakan 10 janji terawal mereka jika gabungan terbabit ikhlas dalam perjuangannya.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata sikap sebegitu menyebabkan hanya tiga daripada 10 janji HARAPAN ditunaikan, dan akhirnya rakyat menjadi mangsa.

"PAS percaya jika HARAPAN ikhlas dan benar-benar bertekad untuk menunaikan janjinya, kesemua janji akan dapat melaksanakannya meskipun ada perkara di dalam manifesto HARAPAN tidak dipersetujui PAS," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Walaupun bermusuhan dalam politik, anggota parlimen Kubang Kerian itu menjelaskan PAS tidak gembira apabila kerajaan gagal melaksanakan janji-janji yang diungkapkan dalam manifesto menjelang pilihan raya umum (PRU) pada 9 Mei lalu.

Kata Tuan Ibrahim kegagalan HARAPAN menunaikan 10 janji 100 hari mereka hanya membawa kesengsaraan kepada rakyat dan negara.

Bagaimanapun dalam kenyataan sama Tuan Ibrahim memuji sikap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang dianggap terbuka mengakui kesilapan.

Kata Tuan Ibrahim, Dr Mahathir yang juga pengerusi HARAPAN mengaku gabungan terbabit hanya berjaya menunaikan 21 daripada 60 janji dalam manifesto mereka selepas 100 hari menjadi kerajaan.

Sebab itu PAS diperlukan

"Ini adalah satu permulaan yang baik kepada politik baru yang bersifat lebih jujur dan rendah diri dalam menghadapi kegagalan serta kelemahan sendiri akibat sikap suka menegakkan benang yang basah, seperti diamalkan kerajaan lalu.

"Meskipun dalam konteks perlaksanaan janji 100 hari HARAPAN hanya mampu menunaikan tiga daripada 10 janjinya, PAS percaya jika mereka ikhlas dan bertekad untuk menunaikan janji, kesemua ikrar tersebut dapat dilaksanakan," katanya.

HARAPAN menjadi gabungan pertama berjaya menafikan mandat untuk BN menjadi kerajaan buat kali pertama sejak kira-kira 61 tahun lalu.

BN - dan sebelumnya dikenali sebagai Perikatan - menjadi kerajaan selepas British memberikan kemerdekaan pada 1957.

Dr Mahathir ialah antara watak penting yang berjaya menarik sokongan majoriti pengundi supaya mengundi HARAPAN pada 9 Mei lalu.



Menjelang PRU ke-14 HARAPAN mengemukakan 10 perkara yang dijanjikan akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari pertama mereka membentuk kerajaan.

Tempoh 100 hari itu berakhir semalam.

Kata Tuan Ibrahim dalam keadaan HARAPAN gagal sebagai kerajaan, gabungan itu memerlukan pembangkang yang kuat bagi menjadi badan semak dan imbang demi kepentingan rakyat.

Menurut bekas pensyarah itu, kewujudan pembangkang yang kuat akan membantu mendesak kerajaan segera membantu menunaikan janji-janjinya.

"HARAPAN memerlukan pembangkang yang kuat bagi memastikan mereka tidak leka daripada menunaikan janji kepada rakyat.

"Sebagai pembangkang, PAS akan memainkan peranannya sebagai mekanisme semak dan imbang - menyokong apabila agendanya baik untuk rakyat dan Islam dan membantah jika sebaliknya," katanya.

Untuk rekod kenyataan Tuan Ibrahim itu dibuat pada hari yang sama PAS mengemukakan borang pencalonan untuk mencabar HARAPAN dalam pilihan raya kecil Seri Setia di Petaling Jaya.

PAS menamakan bekas anggota Dewan Undangan Negeri Selat Kelang, Dr Halimah Ali, 58, sebagai calon untuk kerusi Seri Setia, manakala HARAPAN mengemukakan Halimey Abu Bakar, 46, bagi mempertahankannya.

PRK Seri Setia akan diadakan pada 8 Sept, serentak dengan satu lagi PRK iaitu di Balakong.


Tiada ulasan: