Sabtu, 18 Ogos 2018

Ikut sifir PPP, PAS boleh menang tipis di Seri Setia

MALAYSIAKINI

   

PRK SERI SETIA | Pusat Penyelidikan PAS (PPP) yakin parti itu mampu mengetepikan Pakatan Harapan (HARAPAN) sekali gus memenangi kerusi pada pilihan raya kecil (PRK) Seri Setia pada 8 Sept depan berdasarkan perkembangan semasa di negara ini.

Pengarahnya Dr Mohd Zuhdi Marsuki berkata ada beberapa faktor yang mendorong PPP berkeyakinan besar mampu membuat kejutan.

Menyatakan beberapa faktor tersebut Mohd Zuhdi berkata PAS mampu memenangi PRK Seri Setia dengan majoriti tipis namun cukup bermakna kepada perkembangan politik Malaysia.

Beliau yang juga anggota Jawatankuasa Pusat PAS menjelaskan kedudukan kerusi dewan undangan negeri Seri Setia yang berada di tengah kawasan bandar raya Petaling jaya, Subang Jaya dan Shah Alam memungkinkan perubahan corak pengundian berlaku.

"Keyakinan ini berasaskan corak pengundian pengundi-pengundi di kawasan bandar yang dinamik serta mudah untuk membuat perubahan," katanya.

Menurut Zuhdi lagi "lebih separuh" pengundi di kawasan bandar - termasuk Melayu - boleh dikategorikan sebagai pengundi atas pagar.

Bagi pengundi yang memang sudah berpihak kepada pertubuhan tertentu pula, katanya, rata-rata terdiri daripada penyokong BN dan PAS saja.

Protes kepada HARAPAN

"Pengundi-pengundi atas pagar ini lazimnya dipengaruhi oleh isu-isu semasa dan faktor keterampilan calon.

"Oleh sebab itu, PPP berkeyakinan sebahagian besar pengundi yang memilih HARAPAN pada PRU ke-14 lalu dipengaruhi oleh sentimen menolak perdana menteri keenam (Datuk Seri Najib Razak) yang menjadi faktor paling dominan bagi mereka ketika itu.

"Pada PRK Seri Setia ini, pengundi-pengundi atas pagar tersebut tidak lagi dipengaruhi kuat oleh sentimen seumpama itu, memandangkan BN telah pun tumbang dalam PRU baru-baru ini," katanya lagi.




PRK Seri Setia diadakan ekoran kekosongannya apabila penyandang Dr Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia pada 2 Ogos lalu.

Pada PRU ke-14 lalu bekas pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu memenangi kerusi Seri Setia dengan memperoleh 29,250 undi.

Undi sebanyak 19,372 menjarakkan allahyarham dengan pencabar terdekat, Yusoff M Haniff (BN) yang mendapat 9,878 undi. Calon PAS pula sekadar mengumpul 4,564 undi. Seorang lagi calon ialah S Vigneswaran (bebas) yang cuma mendapat 217 undi.

Ada seramai 52,650 orang pengundi di Seri Setia dan daripada jumlah itu 55 peratus ialah Melayu, diikuti Cina 20 peratus, India 24 peratus dan lain-lain 2 peratus.

Menurut Mohd Zuhdi berdasarkan perkembangan politik semasa dan keputusan PRK DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos lalu, faktor yang menentukan corak pilihan pengundi atas pagar ialah protes mereka terhadap janji-janji manifesto HARAPAN yang tidak ditepati, selain tiada perubahan ketara pada taraf hidup rakyat.

Bagaimanapun, katanya, di Sungai Kandis pengundi menzahirkan protes mereka dengan tidak keluar mengundi, bukannya dengan dengan mengundi calon HARAPAN.




"Manakala pada PRK DUN Seri Setia ini pula, faktor yang sama akan turut berpotensi mencorakkan pengundian pengundi-pengundi di DUN ini, sama ada mereka terus mengambil sikap tidak keluar mengundi atau mengundi calon PAS.

"Dengan janji Umno atau BN untuk membantu PAS, calon PAS dilihat mampu memperolehi undi teras sehingga 14,000 (undi)," katanya.

Untuk rekod Mohd Zuhdi ialah calon pilihan PAS untuk merampas kerusi parlimen Shah Alam pada PRU lalu.

Bagaimanapun kerusi berkenaan kekal dimenangi Khalid Samad 55,949 undi. Mohd Zuhdi pula berada di tempat ketiga dengan mengumpul 15,194 undi.


Tiada ulasan: