Jumaat, 24 Ogos 2018

Halimah miliki pengalaman luar biasa

Roslan Shahir Mohd Shahir
Roslan Shahir Mohd Shahir
 
 
SHAH ALAM - Pengundi PRK Dun Seri Setia disaran tidak perlu berfikir panjang untuk memilih dan mengangkat calon Pas sebagai wakil rakyat kerana disifatkan seorang yang mempunyai pengalaman luar biasa.

Pengarah Pilihan Raya Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, proses memilih ini adalah satu tanggungjawab serius, justeru kebolehan dan kemampuan bakal wakil rakyat perlu diambil kira.

"Jangan pilih yang tiada kebolehan dan kemampuan kalau ada yang lebih baik dan tinggi pelajarannya. Jangan pilih yang memiliki kemewahan luar biasa, lebih disayangi kontraktor dari rakyat berbanding yang bersih dan hidup untuk rakyat.

[ARTIKEL BERKAITAN: http://www.sinarharian.com.my/politik/saya-tak-sokong-kelentongraksi-halimah-1.870464]

"Dr Halimah Ali calon Pas punya siri-siri rekod yang cemerlang dan pengalaman yang luar biasa. Beliau bukan sekadar bekas ahli majlis tetapi beliau bekas Exco dan Adun yang sumbangannya kepada negeri Selangor masih disebut-sebut hingga hari ini.

"Beliau seorang doktor perubatan lulusan luar negara selain punya asas ilmu agama yang membanggakan. Mampu dan fasih berbahasa Melayu dan Inggeris serta bukan sahaja pegang jawatan parti di peringkat negeri beliau juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat," katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Roslan, permuafakatan antara Pas dan Umno, selaku parti  Melayu Islam terbesar dalam negara yang telah meletakkan Halimah sebagai calon adalah demi membela nasib agama dan bangsa serta pengundi Seri Setia.

"Marilah kita bertekad menjulang maruah agama, bangsa dan negara tercinta. Di hadapan kita diletakkan calon yang terbaik, tidak ada sebab rakyat pengundi Seri Setia tidak mengundi beliau 8 September nanti.

"Bangkitlah dan bersama kita tuntut perubahan. Rakyat jangan dibohongi dan diperkuda lagi. Rakyat perlu dibela dan dipelihara oleh pemimpin yang bijak, bersih dan bertaqwa. Insyallah Dr Halimah mampu melakukannya," katanya.

Tiada ulasan: