PETALING JAYA – Calon Pas, Dr Halimah Ali mahu mengangkat suara rakyat jika diberi peluang menang pada PRK Seri Setia pada 8 September ini.
Katanya, rakyat perlu memberi undi kepadanya untuk membolehkan beliau menyampaikan mesej jelas kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor agar tidak berbohong dalam berjanji.
“Jika saya menang, saya akan menjadi wakil rakyat yang boleh ‘semak dan imbang’ kerajaan Selangor bersama lima lagi Ahli Dewan Undangah Negeri (ADUN) pembangkang,” katanya selepas selesai penamaan calon di Dewan Sivik MBPJ di sini, hari ini.
PRK Seri Setia menyaksikan pertandingan dua penjuru antara Dr Halimah dengan calon PH dari PKR, Halimey Abu Bakar.
Dr Halimah yang dua penggal menjadi ADUN Selat Kelang dan pernah dilantik anggota Exco ketika kerajaan Pakatan Rakyat Selangor sebelum ini, turut mengucapkan terima kasih kepada UMNO di atas kesediaannya bekerjasama dengan Pas pada PRK ini.
Katanya, beliau mahu kerajaan PH Selangor yang stabil, bukan sekadar cakap tidak serupa bikin, tetapi bikin seperti yang dicakapkan.
“Kepada pengundi muda, inilah masanya mereka menterjemahkan suara dan kemahuan mereka kepada kerajaan negeri yang telah gagal menunaikan 10 janji dalam tempoh 100 hari yang berakhir semalam.
“Saya mahu, pada hari mengundi 8 September nanti, undilah saya,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man meminta ahli dan penyokong Pas tidak mudah terpengaruh dengan sebarang khabar angin yang disebar melalui media sosial.
Sebaliknya, kata beliau, mereka boleh mendapatkan laporan yang sahih dari sumber yang betul kerana dalam tempoh 21 hari berkempen, pihak lawan akan melakukan apa saja untuk menang.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri turut memberi jaminan jentera UMNO akan turun berkempen bersama Pas untuk memastikan kemenangan Dr Halimah.
“Ya, kita akan gerakkan jentera kita bersama jentera Pas sepanjang kempen ini. Kita tak akan mendahului Pas, sebaliknya kita akan berbincang terlebih dahulu,” katanya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan