Khamis, 23 Ogos 2018

BIAR JAWATANKUASA DISIPLIN TENTUKAN – ZURAIDA




Tindakan lanjut terhadap Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid susulan kenyataan berbaur fitnah sebelum ini akan ditentukan jawatankuasa disiplin parti.

Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamarudin, berkata pihaknya tidak menyimpan sebarang dendam, sebaliknya menyambut baik permohonan maaf yang dikemukakan Ahli Parlimen Kapar berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, keperluan untuk memfailkan permohanan maaf berlainan dan secara rasmi kepada Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hanya akan ditentukan jawatankuasa disiplin parti.

Zuraida menyifatkan, episod perbalahan dalaman parti itu sudah berakhir, selain menyuarakan harapan supaya ia tidak berulang.

“Syabas dan tahniah kerana beliau (Abdullah) buat kenyataan akhbar. Saya harap perkara sebegini tidak berulang lagi pada masa depan.

“Terpulang kepada jawatankuasa disiplin PKR untuk memikirkan tindakan seterusnya, termasuk keperluan untuk memohon maaf kepada Datuk Seri Azmin,” katanya kepada pemberita, di Ampang, pada Selasa.

Terdahulu, beliau hadir menyempurnakan kempen kibar Jalur Gemilang, selain mengedarkan bendera sempena sambutan Hari Kemerdekaan untuk kegunaan premis perniagaan, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis serta orang awam.

Abdullah Sani yang juga calon Majlis Pimpinan Pusat PKR, hari ini tampil memohon maaf kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, berhubung dakwaan wujud cubaan menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

Antara kandungan dakwaan itu kononnya Dr Mahathir dan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin mendalangi konspirasi untuk menghalang Anwar daripada menyandang jawatan Perdana Menteri, malah gerakan terancang itu dikatakan mendapat kerjasama Mohamed Azmin.

Dalam perkembangan lain, Zuraida berkata, maklumat terbaharu yang dimaklumkan kepada kementerian ialah projek projek insinerator di Kepong akan dihentikan, berkuat kuasa serta-merta.

“Sebelum ini, isu itu dijawab timbalan saya (Raja Kamarul), namun beliau tidak dimaklumkan mengenai perkembangan terbaharu projek terbabit, justeru berlaku salah faham.


Tiada ulasan: