PANDAMARAN: Petugas media digalakkan datang membuat liputan di Pusat
Penjumlahan Rasmi Undi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bagi Parlimen
Klang di Kompleks Sukan Pandamaran di sini selepas jam 5 petang esok.
Pembantu Pilihan Raya (Sekretariat) Parlimen Klang, Azrul Azmi Tormodi
berkata, pihaknya menjangka penjumlahan undi mengambil masa panjang
disebabkan beberapa faktor.
"Proses ini dijangka mengambil masa panjang memandangkan Dewan Undangan
Negeri (DUN) Bandar Baru Klang antara terbabit dalam persempadanan
semula, begitu juga pertambahan pengundi malah petugas bertambah dan
peti undi juga bertambah.
"Memandangkan proses mengundi selesai pada jam 5 petang esok, jadi rakan-rakan media boleh datang selepas waktu itu," katanya.
Sementara itu tinjauan mendapati semua peti undi sudah tersusun rapi di dalam dewan berkenaan.
Azrul Azmi berkata, kira-kira 100 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya
(SPR) yang terdiri daripada kakitangan Majlis Perbandaran Klang (MPK)
melakukan pelbagai kerja berkaitan sejak semalam.
"Semakan peti sudah selesai dibuat semalam. Hari ini kerja semak semula
termasuk melengkapkan dokumen yang diperlukan dan tidak mencukupi
seperti slip pengundian dan borang rasmi SPR.
"Juga penyerahan komputer kepada semua penyelia pusat mengundi,
contohnya kalau ada lapan saluran, empat komputer riba dibekalkan.
"Tetapi petugas media tidak dibenarkan berada di dalam dewan ketika
kertas undi dan dakwat diedarkan kepada petugas hari ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan