Isnin, 7 Mei 2018

Ezam fail rayuan saman AS$3.6b terhadap Najib, 1MDB

Hafiz Yatim
 
   

Bekas senator Datuk Ezam Mohd Noor hari ini memfailkan rayuan terhadap saman AS$3.66 bilion ke atas Perdana Menteri sementara Datuk Seri Najib Razak, kerajaan, 1MDB, pengarah dan bekas pengarahnya.

Perkara itu disahkan oleh peguam Ezam, Farez Jinnah.

Ezam memberitahu Malaysiakini bahawa beliau menukar fikiran selepas dinasihatkan oleh peguamnya.

"Terdapat permintaan dari orang ramai untuk meneruskan perjuangan di mahkamah hingga akhir," katanya kepada portal berita itu.

Sebelum ini, Ezam berkata beliau memberitahu peguamnya bahawa beliau tidak akan membuat rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengketepikan saman berkenaan 9 April lalu.

Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad pada masa itu memutuskan Ezam tidak mempunyai lokus standi untuk memulakan saman itu bagi pihak warganegara Malaysia kerana beliau bukan pengarah atau pemegang saham dalam 1MDB.

Dalam samannya, Ezam mendakwa Najib dan sembilan bekas pengarah 1MDB telah pecah amah dan menuduh mereka sengaja menyebabkan kerugian AS$3.6 bilion kepada 1MDB.

Ezam turut berkata beliau memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi sebagai pembayar cukai dan mewakili semua rakyat Malaysia, dan berjanji untuk memulangkan semula kerugian kepada 1MDB dan kerajaan sekiranya keputusan mahkamah menyebelahinya.


Tiada ulasan: