Oleh Zainal Salleh
[ULASAN] 'Gila
talak' agaknya Datuk Husam Musa apabila masih berselera mengintai-intai
kehidupan 'janda politiknya' lantas mahu mencampuri ehwal rumahtangga
PAS walaupun sudah melanggar bai'ah dengan parti.
Yang nyata minat dan sayang Husam pada PAS masih ada berbaki. Maka
setiap kesempatan mencampuri ehwal PAS tidak akan dilepaskannya. Husam
masih mahu terbabit dengan kehidupan PAS.
Terbaharu, Husam menjadi di antara politikus awal 'menegur' pimpinan
PAS supaya seluruh barisan pimpinannya meletak jawatan kerana kononnya
gagal memperjuangkan usul menaik taraf bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Pucuk dicita ulampun tiba. Setelah gesaannya supaya isu bai'ah tertalak
isteri mana-mana pemimpin PAS yang melanggar sumpah tidak melompat
parti cuba dihangatkannya gagal, Husam menyambar peluang mencampuri isu
BN tidak jadi membawa usul berkenaan ke parlimen.
"Secara ringkasnya, saya minta Presiden PAS dan jawatankuasa PAS
meletakkan jawatan secara bersama. (Sebab) yang berlaku ini satu
tindakan politik merosakkan nama Pas.
"Dia telah memecahbelahkan pakatan pembangkang, pecahbelahkan PAS dan
meletakkan PAS sebagai satu badan politik yang tidak dapat difahami oleh
rakyat jelata," katanya.
Husam kecewa tak sempat jadi pemimpin ulung PAS
Mungkin Husam masih kecewa terpaksa memfasakhkan PAS dan tidak sempat
menjadi pemimpin ulung PAS kerana gagal menandingi sebilangan ulama yang
terus percaya pada kepemimpinan Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang.
Sebab itu agaknya bila ada kesempatan 'meremeh dan memburukkan'
kepimpinan Hadi beliau segera menerpa ke dalam gelanggang dengan harapan
dapat 'menyedarkan' penyokong PAS betapa rugi jika terus setia pada
Hadi.
Namun kini Husam adalah ahli Parti Amanah Negara. Adalah lebih wajar
beliau menghebahkan kehebatan, kemulukan dan keunggulan perjuangan
partinya. Beliau harus insaf masalah PAS bukan lagi masalahnya.
Sebaliknya dalam isu RUU355 ini Husam seharusnya memberi penjelasan
terperinci mengapa partinya yang mengaku sebuah wadah Islam, nilai
imannya lebih rendah daripada Umno?
Setelah berpuluh-puluh tahun PAS berdakwah memartabatkan Islam,
akhirnya sekali lagi Umno tampil untuk membawa usul memperkasakan
Mahkamah Syariah setelah memperkenalkannya pada 1965. sebagai Akta
Persekutuan.
"(Akta 355) ini dipinda kali pertama pada 1984 dan kali kedua pada 1989
dan ia kekal sebagai Akta Persekutuan," kata Timbalan Menteri di
Jabatan Perdana Menteri Datuk Ashraf Wajdi Dasuki.
Bagaimanapun hasrat Umno-BN mengambil alih usul persendirian Haji Hadi
itu terhalang kerana tatakrama Barisan Nasional berpaksi konsensus
sesama ahli. Umno-BN akhirnya bersetuju untuk tidak menjuarai langkah
itu kali ini.
Husam tiada hak bercakap bagi pihak PAS
Bagaimanapun parti Husam berdalih menegaskan pendiriannya sama ada
menyokong atau tidak usul berkenaan. Sama seperti PKR yang ditunjangi
ahli-ahli muslim, soal butir pindaan yang belum nyata dijadikan alasan.
Sebagai sebuah parti Islam, parti Husam wajib mendahulu dan
mendaulatkan Islam. Umno ada halangan protokol tetapi Amanah dan PKR
seharusnya tidak keberatan menyokong; kecuali kedua-duanya 'gentar' pada
amarah DAP.
"Saya pun tak tahu siapa sebenarnya (Datuk) Husam Musa. Dia bukan ahli PAS dan dia tidak ada kaitan dengan PAS.
"Dia tiada hak untuk bercakap bagi pihak PAS sebab dia bukan ahli PAS
dan dia dah dipecat," katanya Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim
Tuan Man.
Beliau menjawab kenyataan Husam yang menggesa presiden parti Datuk Seri
Abdul Hadi Awang dan jawatankuasa parti meletakkan jawatan mereka
segera. Namun ini tidak menggugat kedudukan PAS.
PAS tak terkesan
Ketua Penerangannya, Nasruddin Hassan berkata PAS tidak pernah secara
rasmi 'lepas tangan' meskipun Timbalan Perdana Menteri, Datuk Ahmad
Zahid Hamidi sebelum ini mengumumkan akta itu akan diambil alih
kerajaan.
Sebaliknya kini ia kekal sebagai Rang Undang-Undang Persendirian yang
akan dibentangkan oleh PAS sebagaimana sebelumnya. Pengisytiharan itu
tidak menjejaskan apa-apa bagi pihak PAS.
"Situasinya adalah 'kekal pada format asal'. Sememangnya, Ahli Parlimen
PAS sejak awal telah diletakkan dalam 'mode standby' bagi menghadapi
perbahasan di Parlimen," katanya.
PAS kini perluh menunggu giliran yang akan ditentukan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
"Hanya beza jika kerajaan BN bentang maka ia menjadi Bill Kerajaan yang diutamakan angka gilirannya.
"Jika PAS yang membentangnya maka ia kekal seperti asal iaitu Rang
Undang-Undang Persendirian maka gilirannya ditentukan oleh Yang Dipertua
Dewan Rakyat melalui peruntukan peraturan dewan," katanya.
Nasruddin juga menolak pengumuman Najib itu membayangkan seolah-olah PAS dipermainkan BN.
"Jika PAS bentang, mereka kata PAS diperalat oleh Umno dan BN, kenapa
tidak kerajaan BN sahaja yang membentangnya ke parlimen? Bukankah Umno
menyokong? Maka sepatutnya BN yang bentang, bukan PAS.
"(Tetapi) apabila TPM umum kerajaan BN yang akan bentang Pindaan Akta
355, mereka juga "meloncat tidak ketahuan punca" kononnya PAS kena
kencing oleh Umno. Pada mereka, serba tidak kena," katanya.
PAS pada 26 Mei 2016 membentangkan RUU tersebut sebelum menangguhkannya ke sidang November tahun lalu.
Pada sesi pembentangan kedua, PAS sekali lagi minta menangguhkan bacaan
RUU itu bagi memberi lebih masa kepada ahli Parlimen membuat kajian dan
memahami isu itu terlebih dahulu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan