Ahad, 2 April 2017

Bukit Kepong hanya mainan politik popularkan Umno

Mohamad Sabu
 
Saya yakin usaha pihak tertentu mensensasikan kes Bukit Kepong bukanlah semata-mata untuk membela anggota polis tetapi lebih kepada menarik sokongan orang Melayu agar menyokong Umno.


Mat-Sabu 


Setiap tahun menjelang merdeka saya sering memberi ceramah mengulas hal kemerdekaan tanah air. Saya sering memberi pandangan terutama berkait pejuang-pejuang kemerdekaan yang dianggap oleh kami dari parti pembangkang, tidak diutarakan nama mereka seperti Datuk Ahmad Boestaman, Pak Sako, Dr Burhanuddin Al-Helmi, Ibrahim Yaakob, Ustaz Abu Bakar Al-Bakir dan lain-lain lagi.

Hanya nama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Datuk Onn Jaffar yang sering dikemukakan oleh kerajaan. Saya akui kedua-dua mereka memang bersama berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan. Namun, adalah tidak adil jika kita menyembunyikan nama-nama lain yang juga terlibat secara langsung dalam perjuangan kemerdekaan.

Pada tahun 2011, menjelang merdeka, ucapan saya di Padang Menora disensasikan begitu hebat oleh Utusan Malaysia dan TV3. Di Mahkamah Tinggi, kes rayuan pendakwa terhadap tuduhan ke atas saya menghina polis yang terlibat dalam kes Bukit Kepong, dibacakan oleh hakim. Ucapan sebenar saya jika dibandingkan dengan laporan Utusan Malaysia dan TV3, jelas sangat berbeza. Banyak perkara yang saya tidak sebut, seperti Wong Peng Tun menjadi ketua serangan bersama lebih 200 anggota komunis termasuklah Utusan Malaysia melaporkan saya berkata kononnya ada kanak-kanak dilempar dalam unggun api dalam serangan itu.

Sudah tentulah ia menimbulkan kemarahan yang dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya bekas tentera dan polis yang berkhidmat sebelum merdeka. Lebih 1,000 laporan dibuat terhadap saya. Ceramah saya dibaling batu oleh pihak tertentu. Pintu pagar rumah saya cuba dibakar dan beberapa orang bekas tentera dan polis hadir ke rumah saya di Pulau Pinang untuk berdemonstrasi. Ancaman fizikal terhadap saya dibuat beberapa kali dan ada aduan yang saya sendiri laporkan kepada pihak polis. Hampir sebulan dalam bulan Ramadan saya dikecam begitu hebat di semua media perdana.

Hasil perbicaraan Mahkamah Tinggi kelmarin, hakim memutuskan rayuan oleh pihak pendakwa ditolak.
Tiada berita yang keluar secara besar-besaran seperti mereka sensasikan berita Bukit Kepong dulu. Hanya dilapor oleh laman-laman web dan berita online. Hebahan itu dapat dibaca oleh orang ramai.

Bagaimanapun saya bersyukur, hubungan saya dengan pihak polis masih mesra dan profesional. Setiap kali saya bertemu pihak polis untuk menguruskan himpunan aman, atau dipanggil oleh polis selepas satu-satu himpunan, suasananya masih mesra dan profesional, tidak kira mereka berpangkat bawah atau tinggi.

Saya yakin usaha pihak tertentu untuk mensensasikan dan mempolitikkan kes Bukit Kepong bukanlah semata-mata untuk membela anggota polis tetapi lebih kepada menarik sokongan orang Melayu agar menyokong Umno pada PRU13 lalu.

Itulah keadaan media di Malaysia. Mereka boleh mensensasikan sesuatu perkara dan sesorang itu boleh menjadi mangsa fitnah yang dibuat. Saya bersyukur di atas pembebasan dari tuduhan ini.

* Mohamad Sabu adalah Presiden Parti Amanah Negara

Tiada ulasan: