Ahad, 2 April 2017

Batal permit debat Mahathir-Nazri, UMNO takut rakyat tahu kebenaran

Roketkini.com




BATU PAHAT: Pembatalan kali kedua permit polis bagi penganjuran debat mengenai 1MDB yang menampilkan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Nazri Aziz membuktikan ketakutan UMNO-Barisan Nasional (BN) terhadap rakyat.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, UMNO-BN di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak takut untuk berdepan dengan tuntutan rakyat yang mahukan kebertanggungjawaban dan kebenaran dalam skandal 1MDB.

“Najib tidak ada jawapan terhadap tuntutan rakyat (berhubung 1MDB) dan tidak mampu untuk membersihkan Malaysia daripada sumpahan, keaiban, dan rasa malu akibat digelar seluruh dunia sebagai kleptokrasi global,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah menyeru rakyat yang mahu skandal 1MDB disiasat secara menyeluruh agar mengundi Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Debat antara bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Nazri Aziz sepatutnya diadakan di Padang Rengas, Perak, pada 25 Mac lalu.

Bagaimanapun, acara debat yang dikatakan bakal berlangusung di Maktab Rendah Sains Mara Kuala Kangsar itu tidak terjadi ekoran polis enggan membenarkannya atas faktor keselamatan, ketenteraman awam, perlindungan hak dan kebebasan orang ramai.

Akhbar Kumpulan Media Karangkraf, Sinar Harian, kemudiannya menawarkan diri sebagai penganjur. Polis memberi kebenaran untuk mengadakan majlis “dialog” itu pada 27 Mac secara bersyarat dan dijadualkan berlangsung pada 7 April ini.

Syarat itu menetapkan hanya 300 penonton dibolehkan menghadiri majlis tersebut di mana 100 jemputan adalah daripada pihak Tun Mahathir, 100 daripada pihak Nazri Aziz dan selebihnya daripada pihak penganjur.

Bagaimanapun, Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacob dalam akaun Twitter semalam memaklumkan mengenai pembatalan permit.

“Pelik, dialog Tun M vs Ds Nazri, semalam kami terima surat lulus permit. Petang ni terima surat batal permit. Payah!!” katanya. – Roketkini.com

Tiada ulasan: