Rabu, 7 September 2016

Replika Helang: Rais saran perbincangan mendalam dibuat sebelum roboh

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUANTAN: Penasihat Kerajaan dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan Tan Sri Dr Rais Yatim menyarakan satu perbincangan dengan mengambil kira nilai estetika Islam perlu dilakukan sebelum merobohkan replika burung helang di Dataran Lang, Langkawi, Kedah.
 
Ujarnya, ini berikutan replika burung itu sebelum ini menjadi simbol keindahan tarikan pelancongan di Kedah dan bukannya disembah mana-mana pihak.
 
"Keindahan yang dilihat menerusi kaca mata Islam itu tetap ada, bukan tidak ada. Kita harus mengambil iktibar daripada nas bahawa Allah itu menyukai benda-benda yang cantik dan indah, jadi hal itu (cadangan meroboh replika helang) perlu dipertimbangkan dengan mengambil kira hal ini," katanya.
 
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Perubatan Pakar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)(IMSC) di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi IMSC Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman dan Rektor UIAM Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin.
 
Isu replika helang hangat selepas Timbalan Mufti Perak Zamri Hashim mengeluarkan kenyataan bahawa pembinaan replika berkenaan sebagai mercu tanda adalah haram kerana menyerupai bentuk haiwan hidup dan ia wajar dirobohkan.
 
Mengulas lanjut, Rais yang juga Presiden UIAM berkata cadangan merobohkan replika helang itu perlu dibincangkan sebaik mungkin kerana perlu mengambil kira kewujudaan Tugu Negara di Kuala Lumpur dan patung kucing di Kuching, Sarawak, misalnya.
 
Beliau berkata pihak berkuasa perlu berfikir secara mendalam berhubung cadangan berkenaan demi membina sahsiah budaya dan kemasyarakatan di negara ini.
 
 

Tiada ulasan: