Rabu, 7 September 2016

Anwar-Mahathir berjabat tangan tanda damai atau muslihat?

Oleh Abdul Rahman Malik
Post Pic
 

[ULASAN] Episod pertemuan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan anak didiknya, Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah lapan belas tahun dua hari berenggang dan saling bermusuhan dalam politik Malaysia kelmarin meninggalkan banyak tanda tanya.

Sebenarnya, pertemuan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Isnin lalu bertema politik. Lantaran itu persoalan yang menyusul ialah di antara mereka, siapakah dalam senario politik hari ini yang memerlukan siapa?

Latar pertemuan mereka adalah jelas politik. Anwar memohon injunksi untuk menghalang penguatkuasaan Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 kerana percaya ia bertentangan dengan semangat Perlembagaan Negara.

Sementara Mahathir pula mendakwa bahawa beliau hadir di mahkamah untuk menunjukkan sokongan kepada usaha Anwar itu dan tidak semestinya mahu berbaik semula dengan Anwar. Umum itu hanya jawapan politik.

“Saya bukannya berdamai dengannya. Saya tak boleh kata kami berkawan.  Tetapi kami ada berbual.

“Saya berminat dengan kes ini kerana ia membabitkan keselamatan negara. Perkara ini pun ada ditulis dalam blog saya,” kata Dr Mahathir.

Jika pertemuan itu adalah satu kebetulan dan bukan bertunjangkan motif politik, mengapa kedua bekas pemimpin itu dalam masa yang singkat bertemu dua kali di mahkamah berkenaan?.

Mereka pada mulanya bertemu di galeri awam. Setelah Anwar dibawa masuk ke bilik saksi oleh pegawai penjara, Mahathir dilihat memasuki bilik sama dengan ditemani oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali.

Lebih kurang 20 minit kemudian, Mahathir keluar dari bilik saksi dan meninggalkan mahkamah. Mahathir tidak menunggu sidang bermula. Maka kesimpulannya, pertemuan itu memang ada sisi politiknya.

Nampaknya pertemuan mereka ini diatur. Sudah tentu Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali boleh menjawab persoalan pertemuan itu satu kebetulan atau memang beliau sendiri yang mengaturkannya.

Sememangnya, Azmin memang rapat dengan Mahathir. Azmin bekerja dengan Anwar sehingga beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri. Khabarnya Mahathirlah yang meminta Anwar mengambil Azmin menjadi pembantunya.

Ada juga khabar lain mengatakan Azmin anak angkat Mahathir. Maka tidak janggal jika Azmin yang mengatur pertemuan itu. Mengekori hal ini ialah, siapa yang meminta pertemuan itu diadakan. Anwar atau Mahathir?

Anwar sentiasa melaungkan dakwaan bahawa beliau dipecat pada 1998 dari kerajaan dan Umno kerana difitnah penyokong-penyokong Mahathir yang iri hati dengan hubungan beliau yang begitu rapat dengan Mahathir.

Mahathir sebaliknya mendakwa beliau tidak boleh mengizinkan Anwar menjadi penggantinya sebagai presiden Umno dan Perdana Menteri Malaysia  kerana Anwar mempunyai moral yang buruk kerana terbabit kegiatan homoseksual.

Maknanya, bagi Mahathir tidak mungkin beliau mahu merendahkan neraca nilainya hidupnya dengan mahu berbaik semula dengan Anwar yang terang-terang dianggapnya seorang peliwat.

Anwar pula masih tegas mengatakan bahawa pemecatannya 18 tahun ialah fitnah dan orang paling percaya fitnah itu adalah Mahathir. Akibatnya beliau dipenjara dari 1998 hingga 2004.

Dilihat dari perspektif ini agak kurang cerdik jika dibaca bahawa Anwarlah sebenarnya mahu menemui Mahathir.

Ini kerana lantaran Mahathirlah beliau tersekat kerjaya politiknya dan keluarganya pula diaibkan.

Namun ada pihak yang berteori bahawa Anwar sebenarnya ingin tahu betapa tulen dan luhurnya komitmen Mahathir mahu menumbangkan Umno daripada mulut Mahathir sendiri.

Kononnya Anwar mahu menilai seberapa tegarnya Mahathir mahu menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan ingin bekerjasama dengan Pakatan Harapan dan pembangkang amnya.

Hujah penyokong golongan ini ialah, Anwar pernah membantutkan percubaan menggerakkan Deklarasi Rakyat Mahathir melalui surat khususnya kepada pemimpin PKR supaya berhati-hati dengan politik licik Mahathir.

Akibatnya sokongan PKR pada deklarasi itu menjadi hambar. Berikutan itu Mahathir merintis peluang baru dengan menubuhkan parti Pribumi Bersatu dan menyatakan masih ghairah bekerjasama dengan pembangkang lain.

Lantas bolehkah pertemuan 20 minit itu diertikan sebagai satu temuduga oleh Anwar ke atas Mahathir bagi menentukan sama ada beliau layak memimpin angkatan pembangkang dalam pilihanraya umum akan datang?

Anwar insaf dalam keadaan sekarang beliau tidak berpeluang memimpin barisan pembangkang dalam pilihanraya umum ke-14. Beliau juga akur kini tiada tokoh lain boleh menggantikan tempatnya; kecuali mungkin Mahathir.

Maka tidak hairanlah jika Anwar meminta Azmin mengatur pertemuan itu walaupun beliau tidak mungkin lupa dan terlepas pandang keberangkalian “hati kering” Mahathir akan mendorongnya “belot” jika pembangkang berjaya kelak.

Mungkinkah dalam pertemuan itu Anwar membentangkan syarat-syarat yang perlu Mahathir patuhi jika mahu bekerjasama dengan Pakatan Harapan dan parti pembangkang lainnya?

Yang pasti matlamat perjuangan Anwar dan Mahathir berbeza. Mahathir hanya mahu menjatuhkan Najib yang dianggap anak didik yang derhaka. Seraya itu beliau sekaligus mahu melampiaskan kekecewaannya terhadap Umno.

Mahathir mahu dan sanggup meruntuhkan Umno. Bagaimanapun Anwar mengimpikan natijah lebih besar daripada itu – reformasi sistem kerajaan. Anwar mahu perubahan total tetapi matlamat Mahathir hanyalah Najib.

Sememangnya naluri dan ftrah politik Mahathir sentiasa mahu menang dan menjadi pemimpin. Anwar sudah mengingatkan ahli pemimpin PKR akan betapa liciknya politik Mahathir. Hal itu tidak mungkin dilupai Mahathir.

Rekod Mahathir menunjukkan beliau tergamak menggunakan platform PAS ketika menentang Tunku Abdul Rahman hingga dipecat dari Umno.

Mahathir bergabung dengan Bersih walaupun mengutuk gerakan politik jalanan bila rakyat bangkit mempertahankan Anwar pada 1998.

Mahathir penganut fahaman politik Machiavelli di mana matlamat menghalalkan cara. Beliau mahu menang sentiasa. Kini jika perlu berkompromi dengan seorang yang dianggap peliwat, beliau sanggup melakukannya asal hasratnya tercapai.

Namun agak mustahil Anwar mahu merelakan Mahathir memimpin pembangkang. Mungkin Anwar hanya mahu mempamerkan beliau berjiwa besar dan membina persepsi yang bolehmemuncakkan aura politiknya.

Bagaimanapun Mahathir tetap Mahathir. Beliau menegur dan bertolak ansur dengan Najib pada permulaannya kerana mahu melontarkan imej mentor politik yang berwawasan sebab beliaulah yang memilih Najib jadi perdana menteri.

Bagaimanapun apabila Najib melawan dan kemudian bertindak balas, Mahathir sanggup keluar parti dan kini menggunakan apa jua cara untuk membakar Umno sampai rentong; dan tidak terkecuali Anwar Ibrahim sendiri.

Anwar mungkin mahu menggunakan faktor Mahathir bagi menjalin kerjasama di kalangan pembangkang hanya untuk memenangi pilihanraya umum akan datang. Ketika itu beliau berkira sudah bebas dari penjara.

Namun Mahathir pula sudah tentu sudah ada lakaran strategi licik untuk memastikan kesudahan drama politik ini akan memihak padanya. Sudah tiga kali Mahathir keluar Umno. Apapun beliau pasti mahu kembali pada Umno.

Anwar atau Mahathir adalah pelaku politik yang sukar diramal pemikiran dan sasaran politik mereka kerana masing-masing pandai menggunakan topeng politik yang pelbagai.

Jika pisang diizin berbuah dua kali, semakin jauhlah nampaknya harapan pembangkang mencipta kemenangan dalam pilihanraya umum ke-14 dan semakin hampir pula berkubur impian reformasi di negara ini.


Tiada ulasan: