Oleh Wan Anis Ilyani Wan M. Azhar
KUALA LUMPUR: Tidak ada jaminan bahawa Pakatan Harapan akan memutuskan
soal calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar,
esok, kata Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin.
"Kita masih punya banyak masa sehingga 5 Jun nanti. Kita tidak begitu
tergesa-gesa hendak selesaikan isu ini," katanya kepada pemberita di
Dewan Rakyat, tengah hari tadi.
Beliau mengulas pengesahan bahawa Majlis Presiden Pakatan Harapan
(MPPH) akan bermesyuarat di bangunan Parlimen esok, namun agenda
perjumpaan itu masih samar.
Mesyuarat itu sudah ditangguhkan dua kali sebelum kerana dikatakan
menunggu respon rasmi PAS mengenai dua PRK serentak, 18 Jun ini.
PAS akan mengumumkan calonnya untuk Sungai Besar dan Kuala Kangsar,
Jumaat ini sekaligus mengesahkan saingan tiga penjuru atau lebih, untuk
PRK berkenaan.
Shamsul berkata rundingan antara pimpinan PAS dan PKR masih berterusan
untuk memastikan saingan satu lawan satu menentang Barisan Nasional (BN)
yang mempertahankan kedua-dua kerusi Parlimen itu.
"Kita masih teruskan. Presiden PKR sudah buat kenyataan bahawa
rundingan dan perbincangan dengan PAS masih diteruskan. Saya tidak rasa
kita akan dedahkan apa hasil perbincangan itu. Tunggu mesyuarat,"
katanya lagi.
Bagaimanapun, Ketua Pemuda Nik Abduh Nik Aziz berkata buat masa ini
tidak ada sebarang rundingan berlangsung di antara PAS dan PKR.
Shamsul berkata buat masa ini tidak timbul soal PKR menuntut hak untuk
bertanding sama ada di Sungai Besar atau Kuala Kangsar sebagaimana yang
diuar-uarkan oleh setengah pihak.
"Isu itu tak timbul kerana pada peringkat ini kita masih melakarkan
beberapa senario. Yang penting kita nak menang, khususnya di Sungai
Besar," tegasnya lagi.
Sebelum ini wujud ura-ura bahawa PKR juga 'mengintai' peluang untuk
bertanding, selepas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
baru-baru ini memberi kata dua kepada tiga exco PAS Selangor supaya
meletak jawatan jika parti Islam itu bertegas untuk bertanding di Sungai
Besar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan