Ahad, 8 Mei 2016

PAS Sarawak terima kemenangan BN, nasihat elak politik wang

 
Tindakan memberi wang atau hadiah selepas membuang undi, penyalahgunaan premis kerajaan sepanjang tempoh berkempen harus diberi perhatian agar penambah baikkan dapat dilakukan.


Pas-BN


PETALING JAYA: PAS Sarawak menyeru supaya amalan politik wang dan sekatan terhadap pemimpin yang datang berkempen tidak berulang pada masa-masa akan datang.

Setiausaha PAS Negeri Sarawak, Mukhtar Suhaili berkata demikian supaya proses Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang lebih telus.

“PAS Sarawak menyarankan beberapa teguran dan penambah baikan kepada Kerajaan Negeri untuk diambil perhatian dalam pilihan-pilihan raya akan datang.

“Antaranya halangan dan sekatan imigresen yang tidak sewajarnya berlaku, politik wang di mana pengundi diberi hadiah atau duit selepas membuang undi, penyalahgunaan premis kerajaan sepanjang tempoh berkempen dan perlunya padang sama rata disediakan kepada semua parti-parti yang bertanding tanpa ada dwi-standard,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau juga akui PAS Sarawak menerima dan bersikap positif dengan keputusan pilihan raya yang baru sahaja diumumkan walaupun partinya masih gagal melahirkan ADUN pertama.

“Meskipun belum berjaya melahirkan ADUN sulung, namun PAS berjaya menambah undi di Beting Maro dan Sebuyau selain telah berjaya menanam benih dan membina tapak di 7 kerusi DUN yang baru pertama kali ditandinginya,” jelas beliau lagi.

Katanya lagi, PAS Sarawak komited ke arah membina Sarawak Sejahtera seperti mana yang dinyatakan di dalam kandungan Tawaran Untukmu Sarawak.

“PAS akan menyokong segala inisiatif kerajaan jika ia membela kepentingan rakyat dan membantu mengangkat agenda kerajaan yang telus dan cekap (good governance).

“PAS juga akan tegas menegur dan menasihati kerajaan dalam perkara-perkara yang dirasakan perlu selaras dengan sistem semak dan imbang yang diperjuangkan,” tegasnya.

Pada PRN Sarawak kali ini, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem berjaya mengekalkan sebanyak 72 kerusi berbanding 80 kerusi yang dipertandingkan.

Tiada ulasan: