Jumaat, 20 Mei 2016

Pas Perak tiada masalah calon Kuala Kangsar

Razman Zakaria
Razman Zakaria


IPOH - Pas Perak tidak menghadapi sebarang masalah mengenai calon bagi mewakili parti itu pada PRK Parlimen Kuala Kangsar, asalkan individu berkenaan memahami perjuangan sebenar yang dibawa.

Pesuruhjayanya, Razman Zakaria berkata, sesiapapun terpilih, pihaknya akan memberikan sokongan penuh bagi memastikan kemenangan parti itu.

“Kita di peringkat negeri tidak ada isu calon, pastinya yang terpilih itu yang terbaik untuk mewakili Pas, yang penting dia mewakili parti dan memahami perjuangan sebenar parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tiga calon yang telah disenarai pendek dan ditapis Majlis Syura Ulama bagi mewakili parti itu pada PRK Parlimen Kuala Kangsar, 18 Jun ini.

Mereka yang terpilih merupakan anak tempatan, mempunyai pelbagai latar belakang dan berusia antara 40 hingga 60 tahun, bakal diputuskan Pas Pusat yang dijangka bermesyuarat 22 Mei ini.

Razman menyambut baik apabila pemilihan calon berkenaan merupakan anak tempatan.

Katanya, lima calon yang dihantar Pas Perak sebelum ini juga merupakan anak tempatan mempunyai pelbagai latar belakang dan jawatan.


Tiada ulasan: