Rabu, 18 Mei 2016

'Lain-lain parti nak tanding silakan...'

Mohamad Sabu
Mohamad Sabu
 
 
SUNGAI BESAR – Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu menafikan kononnya beliau dipilih Pakatan Harapan sebagai calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar.

Mohamad Sabu atau lebih mesra disapa ‘Mat Sabu’ berkata, tidak timbul soal siapa yang menjadi calon Pakatan Harapan termasuk yang mengaitkannya untuk bertanding di kerusi itu hingga keputusan mengenainya diputuskan Majlis Presiden Pakatan Harapan.

“Majlis Presiden (Pakatan Harapan) akan bermesyuarat bagi menentukan calon yang akan bertanding pada dua PRK ini (Sungai Besar dan Kuala Kangsar) dalam tempoh seminggu dari sekarang,” katanya kepada Sinar Harian pada Mesra Bersama Pemimpin Sempena PRK Sungai Besar di Dewan Seri Bernam, di sini.

Ditanya tentang kononnya Amanah akan bertanding di Parlimen sementara Pas di Dun terutama di Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Mat Sabu berkata, perkara itu tidak pernah dibincangkan parti itu dengan Pas.

“Setakat ini kami tak ada perbincangan dengan Pas tentang perkara ini sebab mereka bukan gabungan Pakatan Harapan,” katanya.

Terdahulu Mat Sabu dalam ucapannya membayangkan Pakatan Harapan bakal bertanding di dua kerusi Parlimen dalam PRK 18 Jun depan sambil menegaskan parti itu bersedia berdepan pertandingan tiga atau lebih penjuru sekiranya parti selain BN memutuskan untuk bertanding di kerusi berkenaan.

“Lain-lain parti yang nak bertanding silakan...bukan hak kita nak halang mereka, bertandinglah. Kita pernah bertanding 15 penjuru di bawah Pakatan Rakyat lawan calon-calon lain di Dun Bukit Selambau, Kedah.

“Tapi, rakyat tahu pilih, mereka (pengundi) pilih Pakatan Rakyat. Bertandinglah, tujuh atau lapan penjuru sekali pun, saya yakin orang Umno, Ahli Pas, PKR, Amanah dan DAP semuanya sekali akan buat perubahan bagi memenangkan calon daripada Pakatan Harapan,” katanya.

Tiada ulasan: