Ahad, 8 Mei 2016

Jurujual Maut, Seorang Cedera Digilis Treler Di MRR2

MSTAR ONLINE


 
 
KUALA LUMPUR: Seorang jurujual di Keramat maut manakala rakannya cedera ringan dalam kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan treler di Lebuhraya Lingkaran Tengah Dua (MRR2), tengah malam Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.45 tengah malam itu, motosikal yang ditunggangi mangsa hilang kawalan sebelum digilis treler berkenaan di susur Pandan Jaya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Hamzah Alias berkata kedua-dua mangsa adalah wanita berumur 18 tahun dan ketika itu mereka dalam perjalanan menuju ke arah Pandan Indah.

"Motosikal yang berada di lorong kiri itu dipercayai hilang kawalan dan terjatuh sebelum digilis treler yang dipandu lelaki berusia 33 tahun yang tidak menyedari kehadiran motosikal mangsa," katanya.

Beliau berkata penunggang motosikal itu meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemboncengnya pula cedera dan dihantar ke Hospital Ampang untuk rawatan.

Hamzah berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang melihat kejadian itu diminta tampil membantu siasatan,"katanya. -Bernama

Tiada ulasan: