Oleh Lokman Ramlee
[ULASAN] Pada
Isnin, 23 Mei lalu, Parti Amanah Negara (PAN) menggesa PKR menghentikan
rundingan memujuk PAS supaya tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil
(PRK) di Sungai Besar khususnya 18 Jun depan.
"Adalah semakin nyata bahawa usaha rundingan ini telah gagal atas sebab
pendirian PAS mempertahankan kedua-dua kerusi berkenaan sebagai milik
tradisi mereka.
"Oleh itu, Amanah (PAN) mengesyorkan PKR menerima kenyataan bahawa PAS
tidak akan menarik diri dan tumpuan diberi untuk mengukuhkan cabaran PH
di dua kerusi tersebut.
"Sudah cukup masa dan usaha ditumpukan kepada perundingan dengan PAS.
Umum mengetahui PAS menolak usaha ini dan oleh itu persoalan tiga
penjuru yang bakal berlaku bukan kehendak dan sikap PH," kata Pengarah
Komunikasi PAN, Khalid Samad.
Sebaliknya, Khalid berkata PAN nekad bertanding di kedua-dua PRK
berkenaan lantas adalah lebih elok Pakatan Harapan (PH) membuat
persiapan menghadapi tentangan BN dan PAS.
Yang pasti sebelum itu, PAS memang tegas tidak akan berganjak daripada
keputusan bertanding pada PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Presiden
PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang cekal tidak akan membuat 'pusingan U'.
Anehnya, walaupun yakin dan garang menyatakan ia sudah nekad mahu
meletakkan calon dalam kedua-dua PRK itu PAN mahu Mesyuarat Majlis
Presiden PH disegerakan bagi memuktamadkan calon parti mana yang akan
mewakili PH.
Bagaimanapun keesokan harinya, Selasa, 24 Mei, Khalid sekali lagi
tampil dengan nada yang agak lunak. Beliau berkata, hasrat PAN
bertanding PRK Sungai Besar bertujuan ‘menyelamatkan hubungan PKR dan
PAS di Selangor’.
"Bagi PAN, biarlah kami yang bertanding kerana kita tidak mahu PAS dan
PKR bergaduh. Sebab ia akan menjejaskan hubungan di dalam kerajaan
(negeri)," katanya.
Khalid
juga mendakwa PAN yakin mampu meraih sokongan Melayu-Islam, apatah lagi
dengan kedudukan parti itu sebagai pengganti PAS di dalam Pakatan
Harapan.
Mana satu yang betul? PAN mahu Pakatan Harapan abaikan perisytiharan
PAS ia akan bertanding di kedua-dua PRK berkenaan, atau PAN menuntut
supaya PH memperakukan hanya ia (PAN) sahaja bertanding dalam kedua-dua
PRK?
Politik apa yang hendak dimainkan oleh PAN? Pertama, PAN minta PKR
henti rundingan dengan PAS. Kedua, PAN mendesak supaya ia ‘diberi restu’
untuk menentang BN dan PAS. Bagaimana dengan kepentingan PKR?
Sehubungan itu, benarkah tuntutan PAN itu ikhlas bertujuan mahu PKR
terus memelihara tahaluf siyasinya dengan PAS? Bebal sangatkah ahli-ahli
politik PKR hingga boleh dihujah begitu remeh?
Apakah dengan mengacungkan nama Presiden dan Timbalan Presidennya memadai “memujuk” PKR menarik diri?
Menurut Khalid PAN berpendapat adalah sukar bagi PKR bertanding
menentang PAS pada kedua-dua PRK itu memandangkan kedua-dua parti
pembangkang itu mempunyai hubungan yang baik.
Sementara itu, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
berkata PKR dan PAS masih boleh berbincang berhubung isu calon bagi
memastikan hanya satu calon daripada pembangkang menentang BN pada
kedua-dua PRK.
Menteri Besar Selangor itu menegaskan, segala keputusan muktamad hanya
boleh ditentukan dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan.
Bagaimanapun PH kini agak kalut dalam menentukan tarikh mesyuarat.
Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail cuba menyalahkan PAS
menyebabkan dua mesyuarat yang dijadualkan sebelum ini batal.
"Kita masih menunggu respon dari PAS. Kita sudah ada mesyuarat tertutup
sebelum ini. Memandangkan PAS bertanding di dua kerusi berkenaan pada
pilihan raya sebelum ini isu itu menjadi asas dalam rundingan kita,"
katanya.
Namun Naib Presiden PAS, Dr Idris Ahmad menyelar kenyataan Presiden PKR itu:
"Apa kena-mengena? Masalah gaduh isteri dan suami orang, takkan jiran
sebelah nak tentukan cerai atau tidak di kalangan mereka? Itu rumah
orang, kita tak campur," sindirnya kerana menganggap itu masalah di
kalangan kerabat PH.
Mesyuarat
berkenaan sepatutnya diadakan Isnin lalu selepas ditunda pada Khamis
minggu sebelumnya. Bagaimanapun semalam (26 Mei) mesyuarat PH ditangguh
lagi. Alasannya, beberapa ahli majlis presiden tidak dapat hadir.
Menilai alasan-alasan PAN yang tidak konsisten dalam isu mahu
bertanding dalam PRK berkenaan, jelas menunjukkan bahawa parti amat
ghairah mahu menguji sokongan pengundi Melayu-Islam sahaja.
Sekaligus ia membayangkan PAN khuatir meskipun menghebahkan ia adalah
pengganti PAS dalam Pakatan Harapan, ia sendiri belum pasti berapa ramai
sebenarnya ahli PAS sudah meninggalkan PAN untuk menyertai PAN.
PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar adalah medan paling sesuai bagi PAN
mendapatkan jawapan ini. Jika ia kalah sekalipun alasan munasabah sudah
ada dalam tangan iaitu ia kalah kerana berlaku pertandingan tiga
penjuru.
Strategi formula pembangkang ialah satu lawan satu. Bagaimanapun PAS
berdegil meletakkan calon. Maka PAN boleh sahaja berhujah bahawa PAS
sudah “kacau daun”.
Alasan kononnya demi memelihara hubungan baik PAS-PKR, maka ia layak
bertanding hanyalah helah untuk mendapat publisiti melonjakkan diri
sebagai sebuah parti nasional.
Naib Presiden PAS, Dr Idris Ahmad membidas tepat kenyataan Pengarah
Komunikasi PAN, Khalid Samad yang mendakwa partinya layak bertanding di
Sungai Besar demi menjaga hubungan baik PKR-PAS di Selangor.
"Itu, secara bahasa mudahnya adalah analogi tak tepat. Bagaimana nak
mendamaikan? Kamu nak melawan kerajaan (BN) atau PAS? Kita nak lawan
BN," tegas Ahli Parlimen Bukit Gantang itu lagi.
Meskipun mendakwa sejak penubuhannya September tahun lalu, PAN sudah
mempunyai wakil-wakil rakyatnya sendiri di peringkat DUN dan Parlimen,
ia sebenarnya dimenangi melalui tiket PAS pada pilihanraya umum 2013.
PAN mahu dikenali sebagai parti Amanah, namun ia didokong di dewan
undangan negeri dan dewan rakyat oleh pemimpin yang tidak amanah dan
melanggar bai’ah dengan PAS.
Isu integriti ini jika tidak diurus baik oleh pimpinan PAN, boleh
menyebabkan wibawa dan haknya mengakui ia sebuah parti Islam akan hilang
nilai di mata rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan