Isnin, 16 Mei 2016

Hadi: PAS sedia hadapi saingan tiga penjuru di PRK

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohd Azhar
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: PAS terbuka dengan pertandingan tiga penjuru menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar, demikian menurut Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
 
"Jika bertanding, PAS tidak rugi sama ada menang atau kalah. Jika menang, untung; kalau kalah balik modal. BN, jika kalah rugi, jika menang balik modal. Parti lain boleh mengadu nasib.
 
"Kita tak boleh paksa orang lain (tak bertanding), terpulang kepada mereka," katanya kepada pemberita ketika ditemui di perkarangan Dewan Rakyat, tengah hari tadi.
 
Hadi diajukan pandangan PAS terhadap hasrat Parti Amanah Negara (PAN) untuk turut sama meletakkan calon di kedua-dua kerusi pilihan raya kecil berkenaan, meskipun menyedari ia adalah kerusi tradisi buat PAS.
 
PKR sebelum ini menjadi pihak tengah bagi membincangkan siapakah calon pembangkang untuk diletakkan di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
 
Usaha itu diambil bagi mengelakkan berlakunya perebutan kerusi di antara pembangkang, sebagaimana yang berlaku di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang akhirnya memberi kelebihan kepada Umno-Barisan Nasional (BN).
 
Namun PAN pada semalam memaklumkan belum lagi memuktamadkan mana-mana calon untuk dua PRK serentak itu.
 
Hadi, yang juga Ahli Parlimen Marang juga memberitahu PAS sudah mempunyai calon bagi PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar sebagaimana yang diluluskan oleh Majlis Syura Ulama.
 
"Sudah diluluskan Majlis Syura, akan diumumkan kemudian," katanya ringkas ketika ditanya perkembangan tersebut.
 
 

Tiada ulasan: