Ahad, 1 Mei 2016

Elak tindas pekerja asing, perangi rasuah, kata MTUC

ARIF ATAN


Florida kiri dan Adrian dalam forum tentang hak pekerja asing di Kuala LumpurFlorida kiri dan Adrian dalam forum tentang hak pekerja asing di Kuala Lumpur


Kerajaan digesa supaya mempunyai kesungguhan politik bagi mengelak penindasan ke atas golongan pekerja asing berterusan.

Penyelaras Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Florida A. Sandanasamy berkata, isu paling mendesak dan menindas hak pekerja imigran adalah gejala rasuah dalam kalangan pihak berkuasa.

"Itu masalah paling utama kerajaan bahkan di kebanyakan negara lain ketika ini, masing-masing dilihat jaga kepentingan sendiri saja," ujarnya dalam forum "Pekerja Imigran: Adakah Mereka Bukan Manusia?" di ibu negara baru-baru ini.

Sehubungan itu, Florida menyarankan masyarakat mengambil tindakan merakam gambar atau video; merekod audio serta mencatat nombor anggota berkuasa apabila melihat sebarang kejadian peras ugut yang sedang berlaku.

Selamat Hari PekerjaSelamat Hari PekerjaHal yang sama juga diakui oleh Pengarah Eksekutif NGO North South Initiative (NSI), Adrian Pereira apabila mengaitkan faktor gaji diterima anggota pihak berkuasa dengan gejala memeras wang daripada migran.

"Polis sendiri gaji rendah. Imigresen dan Rela pun ada 'pow' (peras wang) pekerja imigran. Ya, bukan semua buat begitu tapi itulah banyak aduan mangsa kepada pihak NGO.

"Ini fakta yang tidak boleh kita nafikan. Siapa nak perjuangkan gaji setimpal dan lebih tinggi untuk anggota berkuasa?

"Di Amerika dan Singapura contohnya, gaji polis dibayar tinggi untuk mengelak mereka terdorong melakukan rasuah.

"Denda yang sangat teruk dengan banyak hak akan dilucutkan kalau didapati mereka terlibat dengan rasuah kerana dianggap menggadaikan kepercayaan kerajaan," ujarnya yang telah 30 tahun terlibat dalam NGO yang memperjuangkan golongan terpinggir.

Kerja 16 jam

Mengulas kitaran eksploitasi ke atas pekerja imigran, Adrian berkata, pelbagai pihak terlibat menindas mereka termasuk ke atas tujuh juta pekerja asing yang dilaporkan berada di negara ini.

"Pekerja imigran adalah satu komoditi sumber manusia. Di tempat kerja, tenaga mereka diperah untuk bekerja ada sehingga 16 jam sehari. Itu sudah jelas eksploitasi.

"Pemerdagangan manusia pula berlaku kerana wujudnya rantaian daripada ejen di negara asal sehingga ke penyeludup di negara transit atau destinasi," jelasnya di hadapan kira-kira 50 hadirin di Restoran Amjal, Jalan Pantai Baharu.

Sehubungan itu, beliau berpendapat kadar gaji bagi sektor diceburi pekerja migran perlu diselaraskan di peringkat rantau ini bagi mengekang ugutan di pihak kapitalis.

"Sektor swasta dan ahli politik yang berfikiran liberal ekonomi kata, kalau naik gaji (atau laksanakan gaji minima pekerja), kami lari ke Vietnam, China. Afrika pun pekerja di sana boleh diberi AS$1.

"Dalam percaturan ini, kita harus samaratakan gaji. Syarikat tak boleh peras ugut kerajaan mahu pindah operasi ke negara yang boleh beri kadar upah lebih rendah. Ada banyak undang-undang untuk melindungi hak pekerja migran tetapi banyak juga limitasi," tambah Adrian lagi dalam program anjuran gerakan Kuliah Buku (Kubu) lagi.

Untuk rekod, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dalam Laporan Tahunan 2014 ada menyeru kerajaan yang ketika itu Pengerusi Asean supaya segera memuktamadkan dokumen Pengisytiharan Asean mengenai Perlindungan dan Promosi Hak Pekerja Migran yang telah diterima pakai pada 2007.

Tiada ulasan: