MALAYSIA DATELINE
Yang Dipertua Pas Kubang Kerian, Dato' Husam Musa memuji manifesto
Pas dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak yang memasukkan "semak dan
imbang" dalam peranan di Dun sekiranya dipilih rakyat namun mahu
pendirian itu digunapakai sepanjang masa termasuk urusan dalaman parti.
"Apabila saya memberi pandangan berbeza berkenaan apa yang berlaku
dalam parti maknanya saya memainkan peranan "semak dan imbang" maka
harus diterima dengan terbuka dan bukannya terus diugut untuk diambil
tindakan dan diperlekehkan dengan pelbagai cara," katanya dalam ceramah
kempen selamatkan Malaysia di Rantau Panjang malam tadi.
Maksud semak dan imbang juga menurut beliau ialah terus menerus
menegur kerajaan bila berlaku penyelewengan dan salah guna kuasa yang
pasti merugikan rakyat dan negara.
"Ketika negara berada dalam keadaan tertekan dengan penyelewengan
besar seperti skandal 1MDB sekarang, kita sebagai orang Islam yang
diberi amanah perlu bangkit menyatakan penentangan terhadap kemungkaran
yang berlaku," katanya.
Menurutnya usaha kempen tandatangan deklarasi rakyat sekarang katanya
harus disertai semua pihak kerana selain bertindak bagi pihak rakyat
tertindas ini adalah kewajipan agama.
"Islam ajar kita bila kita melihat kemungkaran, mesti dicegah dengan keupayaan yang ada pada kita," katanya.
Beliau bagaimanapun hairan hadis tentang mencegah kemungkaran ini semakin kurang didengar kebelakangan ini.
"Bila berhadapan kemungkaran kerajaan pimpinan (Datuk Seri) Najib
sekarang ada pihak yang memberi pelbagai alasan untuk tidak bersama
rakyat yang ingin menghentikan kemungkaran besar dengan menurunkan
beliau sebagai perdana menteri," katanya.
Ada pula katanya membawa hujah kononnya tidak syari'e menurunkan perdana menteri sebelum tempohnya tamat.
"Dalam amalan negara ini, Tunku Abdul Rahman, Tun Husein Onn dan Tun
Abdullah Badawi telah berhenti sebelum tiba waktu pilihan raya, mengapa
pula bila rakyat mahu Najib turun sekarang ada yang mengaku Islam
berkata tidak boleh," katanya.
Beliau turut menceritakan kisah Hilful Fudhul di mana baginda Nabi
SAW sewaktu muda dan belum dilantik menjadi rasul telah menyertai satu
deklarasi tokoh-tokoh Mekah untuk membela golongan yang ditindas
pembesar Mekah.
Menurutnya, apabila berlaku perbuatan merosakkan rakyat dan negara
kita tak boleh bertangguh kerana membiarkan mereka yang berkuasa
melakukan jenayah dan kemungkaran akan menyebabkan kerosakan yang besar.
Gerakan Selamatkan Malaysia yang kini disertai semua pihak yang
prihatin dari pelbagai parti dan kumpulan menurut beliau akan terus
menerus dibuat dengan pelbagai cara hingga rakyat bebar-benar terbela.
"Sekarang kita mahu setiap orang menurunkan tanda tangan deklarasi
ini untuk diserahkan kepada Yang Dipertuan Agong supaya menasihati Najib
supaya turun dan memenuhi tuntutan-tuntutan rakyat yang mahukan
keadilan terlaksana," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan